Ulasan Buku (Rahsia Pengacara Hebat & Gagal Tapi Sukses)

 Rahsia Pengacara Hebat : Tip dan skrip pengacaraan – ‘Azimin Daud

ISBN                    : 9789670798295
Penerbit              : Institut Terjemahan & Buku Malaysia
No. Panggilan    : PN4142 .A95 2015

Pengacara merupakan salah satu cabang pengucapan awam yang digeruni oleh kebanyakan orang. Namun begitu, pengacara atau juruacara memainkan peranan yang amat penting dalam sesuatu majlis, acara atau program.

Pengacara atau juruacara perlu memastikan program yang diadakan berjalan dengan lancar dan teratur. Oleh itu, seorang pengacara atau juruacara yang hebat amat diperlukan untuk memimpin perjalanan majlis supaya mencapai matlamat dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada audiens atau penonton yang hadir.

Pengacara atau juruacara yang bagus terletak kepada bakat, ilmu, pengalaman, keberanian, keyakinan, keterampilan, kebijaksanaan, kemahiran berbahasa, berkomunikasi serta kekuatan vocal, dan adalah satu bonus jika mempunyai wajah yang menarik. Selain dari itu, daya tarikan yang tersendiri atau aura juga perlu ada untuk menjadi seorang pengacara.

Buku bertajuk “Rahsia Pengacara Hebat” ini sangat sesuai dibaca semua lapisan masyarakat yang berminat dalam bidang Pengacara. Penulisannya santai tetapi jelas dan mudah difahami. Disisipkan juga tip yang berguna untuk pembaca. Apabila membaca buku ini sedikit sebanyak dapat membantu anda yang ingin berjinak-jinak menceburi bidang pengacara. Anda pasti tidak akan rugi memilikinya.

– Ulasan buku oleh: Pn. Wan Nurulhuda Wan Zakaria, Pustakawan

‘ Gagal Tapi Sukses ‘ – Mohd Rafi Jalaluddin

ISBN                      : 9789678604727
Penerbit              : Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
No.Panggilan     : BF637 .S8 R34 2015

Gagal dalam pelajaran bukan bermakna anda gagal dalam kehidupan. Inilah yang penulis ingin sampaikan di dalam buku yang sarat dengan nasihat, motivasi dan peristiwa dari pengalaman benar beliau sendiri dan juga mereka yang telah berjaya. Cara penulisan beliau yang santai dan kadangkala sinis membuatkan pembaca lebih terkesan untuk mengaitkan setiap perkara yang disampaikan dalam kehidupan diri sendiri.

Buku ini juga memaparkan kisah tokoh-tokoh seperti Michael Jordan, Datuk Rosyam Nor, Datuk Yusof Haslam dan Pele, raja bola sepak yang pernah menghadapi kegagalan namun hari ini menjadi orang yang hebat kerana mereka berusaha mengubah nasih dan tidak menyalahkan nasib. Tiada kelulusan yang tinggi pun kita tetap berpeluang menjadi ilmuwan, jutawan hatta hartawan sekali pun. Asalkan perlu berusaha dan percaya pada diri sendiri.

Buku ini diolah dengan cukup baik dan secara peribadi, perlu dibaca oleh golongan muda untuk dijadikan motivasi dan panduan. Kehidupan yang dilalui perlu dipasak pada tiang asas yang kukuh iaitu hubungan dengan Yang Maha Esa. Kehidupan ini diibaratkan sebagai sebuah jambatan yang panjang. Sepanjang mana pun sebuah jambatan itu, ia akan tetap runtuh ke bawah apabila tiang asasnya tiada atau goyah.

– Ulasan buku oleh : Cik Rosfadilla Mohamad Zainun, Penolong Pustakawan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *