PERPUSTAKAAN MINI DI RUMAH BOLEH WUJUDKAN BUDAYA MEMBACA

Oleh: Wan Nurulhuda Binti Wan Zakaria, Pustakawan Unit Pengkatalogan

Adakah anda sudah memiliki perpustakaan mini di rumah? Dengan adanya perpustakaan mini di rumah adalah sangat penting dalam menanamkan serta mewujudkan budaya membaca di kalangan anak-anak dan keluarga kita. Oleh itu, jika anda belum memilikinya, jom milikinya sekarang!

Bagaimana tips membuat perpustakaan yang menarik di rumah? Jom semak beberapa langkah berikut:

i. Buat rak buku dengan bentuk yang unik dan menarik.
Lupakan bentuk rak yang konvensional. Kita boleh memodenkan bentuk rak buku yang dipasang seperti rak buku berbentuk bulat dan sebagainya. Buatlah bentuk rak yang menarik supaya ia dapat dilihat berbeza dengan perpustakaan di luar.

ii. Buat senarai inventori buku yang ada.
Catat setiap kali kita membeli buku yang baru. Gunakan sampul pada buku supaya tidak cepat rosak dan kemudian labelkan buku mengikut warna, abjad ataupun nombor bagi memudahkan kita mengetahui jenis dan jumlah buku yang telah dimiliki.

iii. Cat sudut dan rak buku dengan warna yang “eye catching”.
Gunakan warna yang menarik perhatian pada sudut, rak buku dan kelengkapan yang berkaitan di dalam perpustakaan mini. Penggunaan warna yang sesuai dan menonjol dapat membuatkan anak-anak dan keluarga serta sesiapa sahaja yang menggunakan perpustakaan ini akan duduk lebih lama untuk menikmatinya.

iv. Pencahayaan yang baik.
Pilihlah suatu sudut di dalam rumah yang memiliki pencahayaan yang cukup terang tidak kira pada waktu siang ataupun malam. Apabila ruangan yang dipilih gelap, maka aktiviti membaca akan menjadi tidak menyeronokkan dan dalam masa yang sama ia juga tidak baik untuk kesihatan mata.

v. Tambah aksesori yang selesa.
Untuk menambahkan keselesaan, letakkan kerusi yang empuk atau meja yang besar supaya aktiviti membaca akan terasa lebih selesa dan menyamankan. Boleh juga cukup sekadar meletakkan karpet dan bantal yang empuk untuk dijadikan sandaran bahu dan alas duduk.

Tidak susahkan untuk membuat perpustakaan mini di rumah? Jadi, mulakan langkah untuk membina sebuah perpustakaan mini di rumah anda sekarang. Semoga tips ini dapat membantu anda sebagai langkah dalam memupuk minat membaca dikalangan anak-anak dan ahli keluarga sekaligus dapat menjadikan mereka manusia berilmu dan berjaya kelak.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *