Penulis artikel;

En. Zaiful Bahari Baharum , zaiful@ump.edu.my

 

Ajaran agama Islam menitik beratkan soal ibadah. Umat Islam dituntut melakukan ibadah sesuai dengan firman Allah swt.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya ALLAH, Dialah Pemberi rezeki, Yang Empunya Kekuatan, Yang Maha Kukuh.” (Surah Adz-Dzāriyāt 51:56-58)

Menurut Firman Allah Swt di atas, adakah kita wajib beribadah kepada Allah swt selama 24 jam sehari. Ya. Ringkas dan padat itulah jawapannya dan sebagai Umat Islam kita tidak boleh mengelakkannya. Nampak susahkan tapi hakikatnya senang sekiranya kena dengan caranya. Adakah kita perlu duduk ditikar sejadah bersolat dan berzikir 24 jam untuk memenuhi kehendak Allah swt. Tentulah tidak dan bukan itu caranya kerana kita perlu menjalankan tanggungjawab yang lain seperti contoh ada masa kita perlu makan kita makan, ada masa perlu kita beriadah, kena beriadah dan ada masa kita tidur kita kena tidur untuk melengkapkan 24 jam kitaran rutin harian hidup kita. Ibadah dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan ibadah ritual semata-mata seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya (ibadah khusus), malah ibadah merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, mencari rezeki, sehinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara. Kerja pula merupakan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu perkara bagi mendapatkan upah atau ganjaran. Namun semua itu sia-sia sekiranya kita tidak sertakan dengan niat Lillahi Taala. Apabila kita melakukan rutin harian tersebut besertakan niat Lillahi Taala, Insyaallah pahala ibadah akan dikurniakan kepadanya.

“Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)

Namun begitu adakah kita sedar bahawa di dalam melakukan rutin harian, kita menghabiskan masa 8 jam atau lebih dalam sehari melakukan pekerjaan untuk mencari nafkah, menanggung keluarga. Apabila kita diterima bekerja di sesebuah organisasi, secara tidak langsung kita akan dipanggil dengan gelaran pekerja atau staf. Ya, staf istilah yang sering digunapakai untuk menggambarkan yang kita ini adalah seorang pekerja tidak kira memegang jawatan apa sekalipun baik pengurus, pengarah, kuli dan sebagainya. Bila mana menyebut sahaja perkataan staf, apakah yang istimewanya perkataan ini sehingga boleh kita kaitkan perkataan ini untuk kita memenuhi tuntutan ibadah dalam melakukan pekerjaan kita. Secara kebetulan atau dalam kita tidak sedar bahawa perkataan staf ini mewakili empat sifat wajib bagi seorang Rasul iaitu “S”, mewakili Siddiq (benar), “T” mewakili Tabligh (menyampaikan), “A” mewakili Amanah (yang dipercayai) dan “F” mewakili Fathonah (bijaksana). Apabila digabungkan empat huruf tersebut ianya membentuk perkataan staf yang juga membawa makna atau singkatan bagi menggambarkan sifat wajib bagi Rasulullah.

Bagaimanakah caranya untuk menjadikan kerja sebagai ibadah dan tidak sia-sia. Yang pertamanya kita perlu terapkan, “S”, mewakili sifat siddiq (benar) didalam pekerjaan. Menurut Imam al-Ghazali ada beberapa jenis sifat siddiq antaranya ialah benar pada lidah (menyampaikan suatu kenyataan atau berita menepati apa yang sebenarnya), benar pada niat (membuat sesuatu amal kebajikan kerana Allah), benar pada azam (membulatkan tekad melakukan kebajikan seperti yang telah diazam), benar pada janji dan benar pada amal. Berusaha bersungguh-sunnguh supaya amalan lahirnya menepati dengan apa yang tersembunyi dalam dirinya. Integriti merupakan kualiti yang paling penting bagi menjamin kejayaan sesebuah organisasi dalm jangkamasa yang panjang. Tahap integriti boleh dinilai dengan sejauh manakah seseorang staf jujur pada diri sendiri. Jika kita mampu jujur dengan diri sendiri sudah tentulah kita akan jujur terutama kepada majikan dan rakan sekerja yang lain. Elakkan daripada berpura-pura atau berlakon dan lebih buruk lagi apabila menipu tentang kemahiran atau kebolehan yang kita miliki. Lambat laun majikan dan pekerja-pekerja lain akan dapat melihat kelemahan diri kerana kita tidak selama lamanya dapat menjadi sesorang yang dirinya adalah direka. Jujur merupakan akhlak terpenting bagi seorang muslim dan merupakan asas tertegaknya agama ini.

“Hendaklah kamu selalu jujur, kerana sesungguhnya jujur itu akan membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu akan membawa kepada Skejujuran, sampai dia ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang sangat jujur. Dan hendaklah kamu selalu menjauhi dusta, kerana sesungguhnya dusta itu akan membawa kepada kemaksiatan, dan sesungguhnya kemaksiatan itu akan membawa ke neraka. Dan tidaklah seseorang selalu berkata dusta dan selalu memilih pendustaan, sampai dia ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang pendusta” (Hadis Riwayat Muslim )

Bersama-samalah kita berusaha untuk sentiasa bercakap benar, sentiasa bersikap jujur dan cuba menghindari dari melakukan pembohongan dan pendustaan. Jangan sampai kita dicop sebagai pembohong atau penipu kerana pasti sikap negatif itu akan menjerumuskan kita ke lembah neraka na’uzubillahiminzalik.

Huruf kedua bagi membentuk perkataan staf adah “T”, (Tabligh). Maksud Tabligh adalah menyampaikan ilmu kepada umat islam seperti belajar dan mengajar tentang ilmu agama. Tabligh biasanya dilakukan oleh ustaz-ustaz, alim dan ulamak akan tetapi ianya boleh diterapkan didalam diri seseorang pekerja. Tabligh ini berasal dari bahasa Balgha, Yablighu, Tablighu” yang bermaksud menyampaikan, Dasar kegiatan tabligh adalah perintah Allah SWT dalam Alquran. Misalnya, surah al-Maidah ayat 67, yang ertinya,

“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan ( apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.”

Tabligh menjadi tanggung jawab setiap Muslim. Ini sejalan dengan perintah Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari, at-Tirmizi dan Ahmad dari Ibnu Amr:

“Sampaikan (tabligh)-lah olehmu apa yang kalian peroleh dari aku meski hanya satu ayat.”

Seseorang staf perlu menerapkan sifat tabligh ini dalam pekerjaan mereka. Sesebuah organisasi yang berjaya biasanya memiliki pekerja yang mampu menjaga etika dan nama baik organisasinya. Seseorang staf yang dilantik oleh majikannya perlu menyampaikan maklumat dengan tepat dan tidak menanam perasaan dendam atau berniat untuk menjatuhkan majikannya atas alasan majikannya menegur kesalahan yang dilakukannya. Lebih parah lagi maklumat yang disampaikan itu tidak tepat dan tidak benar menjadi perbualan dan bahan fitnah pesaing majikannya yang menjadikan maklumat tersebut sebagai salah satu cara untuk melumpuhkan majikannya. Sebab itulah kenapa sifat tabligh, menyampaikan perkara yang benar ini perlu ada di dalam diri seseorang staf supaya kelemahan organisasinya tidak dimanipulasikan oleh orang lain seterusnya menjadikan organisasinya kukuh dan cemerlang.

A” mewakili sifat amanah merupakan antara ciri-ciri penting yang perlu ada pada setiap staf. Setiap pekerja mempunyai amanah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Bagi pekerja Muslim, memelihara amanah yang diberikan adalah satu tanggungjawab maka hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baik mungkin dan tidak menyalahgunakannya sama sekali. Seorang staf yang berkaliber akan peka dengan perkembangan di tempat kerja, dia tidak akan menggunakan alasan seperti tidak tahu ada mesyuarat, tidak tengok surat lagi, lewat diberitahu dan pelbagai alasan lain. sebaliknya dia akan cuba buat sehabis baik dengan menggunakan kepakaran dan kreativiti yang ada sehingga dapat mengubah situasi yang tegang kepada situasi yang tenang tanpa menyalahkan sesiapa. Sebagai seorang pekerja maka di bahu kita menggalas amanah untuk melaksanakan tugas dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Kita diseru agar mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat kita bekerja, mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya. Amalan melaksanakan tugas dengan penuh ketekunan, kegigihan dan kesungguhan sememangnya tidak asing bagi seorang pekerja Muslim.Ini kerana ia telah dilatih dalam kehidupan seharian, khususnya melalui ibadah yang dilaksanakan, seperti solat. Al-Quran menjelaskan bahawa solat berperanan mencegah orang yang melaksanakannya daripada melakukan dosa dan kemungkaran. Menjauhkan diri daripada sebarang sifat khianat dan tidak bermaruah,seperti rasuah, pecah amanah dan membuat sesuatu untuk kepentingan diri. Rasullullah s.a.w bersabda :

Ada tiga tanda munafiq : Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianati.

Rasullullah s.a.w bersabda lagi. :

“Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: Jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram)”.

Akhir sekali huruf “F” yang mewakili sifat Fathonah boleh diertikan sebagai intelektual, Kecerdikkan atau kebijaksanaan. Pekerja yang Fathonah ertinya pekerja yang memahami, mengerti dan menghayati secara mendalam berkaitan tugas yang menjadi kewajibannya. Ianya menjadi satu elemen penting dalam bekerja kerana dengannya seorang pekerja mampu mengoptimalkan potensi kerja yang telah diberikan kepadanya. Potensi paling berharga dan termahal yang diberikan pada manusia adalah akal (intelektual). Akal yang diberikan oleh Allah SWT amat penting kepada seseorang pekerja kerana dengan akal inilah pekerja dapat mencetus idea, meningkatkan kreativiti dan melakukan pelbagai inovasi bagi mencapai keberhasilan yang baik dan bermutu tinggi. Pendekatan Fathonah ini perlu dalam pekerjaan kerana cetusan idea daripada pekerja yang cerdik dan bijaksana adalah salah satu kunci kejayaan sesebuah organisasi.

Kesimpulannya. STAF iaitu Siddiq, Tabligh, Amanah dan Fathonah yang juga merupakan sifat wajib bagi seorang Rasul apabila digabungkan dan diserapkan 4 perkara tersebut dalam pekerjaan seharian maka InsyaAllah seseorang pekerja atau staf akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah swt dan kerja tersebut dikira ibadah. Sebagai hamba Allah, amat penting untuk kita menyedari dan memastikan segala pekerjaan yang kita lakukan tidak lain dan tidak bukan, hanya semata-mata kerana Allah SWT. Tidak terlintas di dalam hati untuk mengharapkan pujian, pangkat dan harta tetapi apabila dikurniakan Allah lantaran ikhlas dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, anggaplah ia merupakan kurniaan Allah yang menghargai hambaNya yang ikhlas sepanjang perjalanan hidupnya dalam menjunjung apa yang diperintahkanNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *