98 peratus pentadbir universiti awam sokong BDR

By | March 24, 2021

KUANTAN: Lebih 98 peratus warga pentadbir universiti awam menyokong usaha kerajaan membenarkan mereka terus Bekerja Dari Rumah (BDR) ketika pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pertengahan tahun lalu.

Timbalan Presiden Hubungan Korporat Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (Masti), Mohd. Raizalhilmy Mohd. Rais berkata, terdapat kesan positif kepada produktiviti kerja walaupun pentadbir bekerja dari rumah sepenuh masa.

“Pelaksanaan BDR ini disokong melalui satu kajian yang telah dijalankan oleh beberapa orang pentadbir daripada universiti awam berkenaan impak budaya kerja daripada pandemik Covid-19.

“Hasil kajian juga bukan sahaja menunjukkan sokongan atas usaha kerajaan mewujudkan PKP sebagai langkah mengekang penularan penyakit malah persekitaran rumah yang kondusif mampu memberikan kesan positif kepada produktiviti kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Raizalhilmy berkata, BDR dilihat suatu perubahan norma baharu terutama dalam pengurusan organisasi di universiti awam pasca pandemik.

“Pentadbir universiti awam perlu menyesuaikan diri agar kekal relevan dengan perubahan persekitaran masa kini terutamanya berkaitan dengan budaya kerja berhadapan dengan teknologi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

“Infrastruktur serta infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sedia ada di universiti banyak membantu proses BDR berjalan lancar di samping pentadbir memperoleh ilmu baharu serta memudahkan proses kerja dilakukan.

“Sudah tiba masanya semua pentadbir universiti awam membuat perubahan dalam penyampaian perkhidmatan dengan menyokong aspirasi kerajaan melalui proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan supaya lebih tuntas dan memudahkan rakyat menyesuaikan diri dengan norma baharu termasuk dalam bidang pendidikan serta perniagaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pentadbir universiti mesti mempunyai pendirian lebih terbuka dan berani memimpin perubahan dalam apa jua bentuk tindakan serta pandangan yang dinyatakan.

“Tidak semua perubahan akan mewujudkan manfaat yang berguna bahkan ada juga perubahan yang berlaku hanya bersifat sementara.

“Kita di Malaysia tidak boleh kekal tanpa berubah. Jika kita alpa mungkin kita akan jauh ketinggalan berbanding negara membangun dan negara maju,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Sumber Manusia untuk menilai cadangan memperluas kemudahan BDR untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh.

Bukan sahaja yang melibatkan pasca pandemik malah bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak baharu lahir. – UTUSAN ONLINE

Artikal Asal : utusan.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *