SELAMAT TAHUN BAHARU 2020

By | January 1, 2020
Assalamualaikum wmt.wbt dan Salam Sejahtera,
1 Januari 2020, Ke Mana Langkah Kita?
1. Alhamdulillah dan syukur kerana kita telah memasuki tahun baharu 2020 dan kita berdoa semoga Allah swt merahmati dan memberi pertunjuk kepada kita semua untuk menempuh kehidupan ini dengan iman dan taqwa serta membawa kebahagiaan dan kemakmuran.
2. Sesungguhnya maju dan lajunya teknologi hari ini,meringkaskan segala daya kerja kita,dalam erti kata yang lain,pekerjaan menjadi mudah dan pantas. Kita generasi pentadbir hari ini beruntung kerana dapat merasai suasana perubahan ini,sehingga kita bergantung harap sepenuhnya pada aplikasi teknologi dalam persekitaran pengurusan tangkas.
3. “Warga Perkhidmatan Awam perlu melaksana tanggungjawab berteraskan kepada 3 prinsip utama iaitu Integriti,Speed dan Profesionalisme”, petikan ucapan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mencerminkan bahawa, walau sebesar mana perubahan berlaku terhadap negara,integriti tetap kita sanjung. Kelajuan (speed) teknologi memudahkan kaedah penyampaian,begitu juga maklumbalas dari kita sebagai warga pentadbir perlu tangkas dalam memberi maklumat dan respon kepada apa jua perubahan mendatang. Cermin diri kita dalam setiap langkah adalah sikap profesionalisme yang kita semai dalam diri,mengetepikan emosi dan prasangka. Warga pentadbir adalah warga berhemah tinggi.
4. Berkerja dalam alaf ini adalah berkerja dalam berpasukan, memutuskan sesuatu keputusan bukan atas penilaian dari akal diri sendiri semata,tetapi dipandu oleh idea pasukan dan ilmu pengetahuan yang dalam.Tiada lagi budaya kerja secara silo. Berkerja secara bersendiri dengan mengetepikan hak pasukan,merupakan kepincangan dalam mengendali organisasi pada alaf ini.
Kita Ada Tugasan Baharu
5. Agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, destinasi baharu untuk kita tuju. Warga UMP tidak terkecuali, malah dizahirkan pada pemetaan Pemboleh Daya Wawasan Kemakmuran Bersama,di bawah sub topik, Pendidikan & TVET. Terang lagi bersuluh,tugasan mencabar ini perlu kita galas bersama.
6. Harapan negara dalam meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,masyarakat peribelajar dan pendidikan berasaskan keberhasilan perlu kita akalkan bersama.Inilah langkah perubahan besar untuk warga pentadbir UMP. Cabarannya amat kritikal,tetapi kita warga UMP punyai semangat yang jitu bukan? Pelayaran untuk perubahan ini bukan sehari dua,dugaan sepanjang perjalanan kita dapat duga. Kompas kita (Nilai Teras) memandu arah,sesekali tersasar laluan,kembalilah ke daratan.
7. Hasrat pimpinan universiti perlu kita bersama realisasikan. Ucapan sulung Yang Berbahagia Naib Canselor menegaskan UMP sedang mencorakkan laluan sendiri dalam memajukan pendidikan teknikal aras tinggi. Oleh yang demikian,tenaga dan idea dari warga pentadbir perlu bergerak seiring dengan perubahan yang dirangka.
8. Akhirnya, saya mewakili seluruh Majis Tertinggi dan Exco PPTI mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2020
PROFESIONAL-DINAMIK-TERUNGGUL
Mohd Raizalhilmy bin Mohd Rais
Presiden PPTI-UMP merangkap Timbalan Presiden (Hubungan Korporat) MASTI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *