KHUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI PENTADBIR MALAYSIA 2021

By | August 20, 2021

KHUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI PENTADBIR MALAYSIA 2021
TARIKH : 20 OGOS 2021M BERSAMAAN 11 MUHARRAM 1443H

 

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

 

 

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’” Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau!” Tuhan berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kalian ketahui”.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Setiap manusia di muka bumi ini menggalas tanggungjawab sebagai khalifah bagi memakmurkan bumi Allah SWT mengikut ketetapan-Nya.Dan semua manusia tidak terlepas dengan apa yang mereka lakukan di atas muka bumi dan semua akan dapat ganjarannya samada baik ataupun buruk di akhirat kelak.

Oleh itu, bersempena Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia Tahun 2021 dengan bermotokan “2 Dekad MASTI- Menulusuri Bakti, Merealisasi Aspirasi”, mimbar pada hari ini ingin menerangkan kepentingan kewibawaan seorang pemimpin.

Secara umumnya tugas dan peranan pemimpin bukanlah mudah. Dalam Islam, seseorang pemimpin perlu mempunyai kemahiran untuk menguruskan hal ehwal dunia (siyaasatud dun-ya) dengan penuh kebijaksanaan dan berhikmah agar semua dapat merasai manfaat yang terbaik. Perlu ditekankan bahawa pemimpin perlu sentiasa memikirkan hal ehwal dan kebajikan orang yang dipimpin kerana kebijakan atau kepimpinan yang dilakukan sebenarnya membawa kepentingan umum atau

kemaslahatan sekali gus untuk menghindarkan kemudaratan atau disebut sebagai dar-u al mafaasid.
Dalam hal ini Abu al-Hassan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi atau lebih dikenali sebagai al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkamu Sultaniyyah, menyatakan bahawa kecerdasan akal dan sikap yang baik merupakan ciri terpenting atau kompetensi yang tinggi bagi seseorang pemimpin itu mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik terhadap rakyat atau orang yang dipimpin dalam keadaan atau situasi yang pelbagai dan tidak menentu.

Pemimpin juga perlu mempunyai wawasan yang tinggi dalam membentuk pentadbiran yang berjaya.
Ini boleh digambarkan di dalam Sirah Nabi Yusuf telah difirmankan oleh Allah dalam surah Yusuf ayat 43, yang menceritakan mimpi raja yang memerintah negara Mesir dengan kata-katanya, “sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina yang gemuk telah dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus dan juga aku melihat tujuh tangkai gandum yang hijau dan tujuh tangkai gandum yang kering”.

Perkara ini telah dijawab oleh Nabi Yusuf dengan kata-katanya, “Hendaklah kamu bercucuk tanam selama tujuh tahun berturut-turut dan sebahagiannya kamu biarkan di tangkainya dan sebahagiannya kamu makan”.

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, bahawa kemampuan Nabi Yusuf untuk ‘melihat’ apa yang akan berlaku pada masa hadapan serta memberikan nasihat yang penting bagi raja untuk membuat keputusan terbaik untuk negara dan rakyatnya.

Ternyata kemampuan pemimpin untuk membuat keputusan untuk masa depan amat penting khususnya dalam konteks mengurus pentadbiran yang memerlukan perancangan jangka panjang dan jangka pendek yang tepat berdasarkan sumber yang sedia ada.

Begitu juga keadaan yang telah berlaku terhadap kerajaan negara Islam di bawah pimpinan Sayidina Umar al-Khattab yang ketika itu menghadapi musim kemarau yang panjang di seluruh kawasan Semenanjung Arab yang telah berlaku selama sembilan bulan pada tahun 18 Hijrah. Era tersebut yang dikenali sebagai ‘aam ramadhah’ atau tahun kering telah menyebabkan kemarau yang panjang serta mengakibatkan kekurangan makanan dalam kalangan rakyat.

Dalam keadaan ini Umar al-Khattab sebagai khalifah telah memaksimumkan dana yang terdapat di Baitulmal negara untuk membantu rakyat. Sayidina Umar serta pembantunya sentiasa sibuk ke seluruh pelosok negara, bagi memastikan tiada rakyat yang kebuluran kesan daripada keadaan kering kontang tersebut dan keadaan tersebut telah merubah keadaan fizikal Sayidina Umar yang dikatakan menjadi kurus dan kulitnya menjadi hitam.

Beliau tidak lagi memikirkan makanan untuk dirinya, bahkan beliau tidak lagi selera untuk makan dengan makanan yang layak untuk dirinya. Seorang sahabatnya pernah berkata, “andainya musim kemarau ini terus berpanjangan, kemungkinan Sayidina Umar akan meninggal dunia”.

Ternyata menjadi pemimpin yang berwibawa bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak sekali-kali mengambil kesempatan untuk mengumpul kekayaan, nama atau kesenangan diri serta keluarga. Seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat sewajarnya tidak meletakkan jurang dirinya dengan rakyat atau orang-orang yang dipimpin dan perkara ini turut perlu difahami oleh orang-orang atau pegawai-pegawai yang berada di sekeliling pemimpin sekali gus perlulah menjadi penasihat yang jujur, amanah serta memahami tugas seorang pemimpin yang sebenar.

Sesungguhnya amanah kepemimpinan bukanlah warisan dari keluarga terdahulu dan juga bukan sekadar janji-janji manis atau memberi habuan dan hadiah. Untuk menjadi pemimpin yang berwibawa seseorang itu perlu menerapkan dalam dirinya kecintaan terhadap agama dan umat seluruh serta kesanggupan untuk berkorban apa sahaja demi rakyat dan itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Setiap pemimpin wajar untuk sentiasa mengingati firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud, “wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah menjadi saksi yang adil, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, Rasulullah S.A.W bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

 

Yang Bermaksud :
Dari Ibn Umar ra. Dari Nabi saw, beliau bersabda : “ Kalian adalah pemimpin dan kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinan kalian. Seorang penguasa adalah pemimpin, seorang suami adalah seorang pemimpin seluruh keluarganya, demikian pula seorang isteri adalah pemimpin atas rumah suami dan anaknya.Kalian adalah pemimpin yang akan dimintai pertanggungtawaban atas kepemimpinan kalian”.(HR. Bukhari dan Muslim)

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *