4/SwC0XinIg-QNfM11zN8AcafJUOJ3hnm2_GfrnDDmO8G8e9rwiN8YYLM
List

Alhamdulillah, pagi 29 Ogos saya diberi peluang untuk merakam majlis sambutan merdeka di SMK Gudang Rasau menggunakan dron. Sungguhpun terpaksa bertolak dari Pekan seawal jam 6:45 pagi untuk sampai tepat sebelum majlis bermula, namun saya tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama dengan adik-adik yang bersemangat menyambut Hari Kebangsaan. Sesungguhnya, negara kita memerlukan lebih ramai anak muda yang patriotik.

Sewaktu menunggu gimik penyampaian bendera oleh Kadet Polis

Kepada adik-adik SMK Gudang Rasau yang dikasihi,

Bagi yang tidak mengenali, saya adalah seorang pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Universiti Malaysia Pahang. Dron yang saya gunakan adalah DJI Phantom 3 Standard. Sedikit perkongsian teknikal berkenaan dron tersebut;

  • Mempunyai 7 biji motor jenis Brushless DC (BLDC) motor.
  • 4 biji motor digunakan untuk terbang. Disebabkan itu, dron ini tergolong dalam jenis quadrotor/quadcopter.
  • 3 biji motor digunakan untuk menstabilkan kamera.

3 biji motor ini membentuk satu sistem yang dinamakan gimbal. Teringat saya kepada seorang rakan di UMP yang menggelarkan gimbal ini sebagai teknologi yang diadaptasi dari kepala ayam. Ye, kepala ayam. Untuk gambaran yang lebih jelas, bolehlah melayari video iklan Mercedes dan iklan LG. Gimbal menggunakan 3 biji motor untuk memberi kesan penstabilan yang menyamai kepala ayam tersebut.

Tiga motor membentuk satu sistem gimbal 3-axis bagi DJI Phantom 3 Standard

Gimbal hanyalah salah satu dari teknologi yang digunakan dalam sebuah dron. Pensyarah-pensyarah di FKEE UMP telahpun membangunkan beberapa unit dron, dan kami telah kenalpasti berpuluh-puluh teknologi yang terlibat untuk sebuah dron yang lengkap. Hasrat saya di sini adalah untuk kita di Malaysia mempunyai teknologi-teknologi tersebut yang dibangunkan sendiri di dalam negara tercinta kita.

Kenapa?

Dron adalah satu kemajuan sains yang tidak boleh tidak akan diadapatasi secara meluas di masa hadapan, samada dalam aplikasi biasa (awam) mahupun aplikasi ketenteraan (militari). Tahukah adik-adik bahawa DJI adalah pengeluar terbesar dron di dunia? Bergantung kepada kategori-kategori harga dron, DJI mendominasi pasaran dron sehingga 70%. Dan tahukah adik-adik bahawa DJI pernah disenarai hitam oleh Pentagon kepada militari Amerika Syarikat kerana dikhuatiri dron-dron DJI ini menghantar data secara senyap ke pihak yang tidak diingini. Samada perkara tersebut benar atau tidak, ianya masih dibincangkan. Namun yang pasti, banyak negara menyedari keperluan untuk membangunkan teknologi-teknologi dron dalam negara masing-masing.

Adik-adik yang dihormati,

Sempena sambutan kemerdekaan kali ke 61 tahun ini, saya menyeru adik-adik untuk menyedari keperluan ini. Sebagai satu negara yang berdaulat, kita harus bukan sahaja mengibar bendera, namun keperluan yang lebih penting adalah untuk belajar bersungguh-sungguh untuk membangunkan teknologi-teknologi yang menjadi keperluan negara di satu masa nanti. Kita tidak boleh terus bergantung dengan kepakaran dan teknologi luar.

Analogi kasut

Sebagai analogi mudah, saya sampaikan pesanan dari ayah saya. Katanya, bayangkan jika negara kita bergantung sepenuhnya kepada negara luar untuk membekalkan kasut atau but kepada para tentera. Jika berlaku sebarang konfrontasi, dan negara tersebut melakukan embargo untuk tidak membekalkan kasut kepada tentera Malaysia, nescaya tentera kita menghadapi masalah besar setelah beberapa bulan. Kasut yang buruk, kaki yang berpenyakit kulit dan banyak lagi masalah lain. Itu hanyalah perkara mudah seperti kasut, bayangkan jika kita bergantung kepada teknologi dron untuk tujuan pengintipan, tanpa mengetahui yang data pengintipan dihantar ke pihak yang tidak berkenaan.

Bukanlah niat saya untuk menimbulkan kerisauan. Cuma saya ingin menyedarkan adik-adik yang negara kita memerlukan lebih ramai pakar-pakar dalam sains dan teknologi. Akhir kata dari saya, kekalkan semangat patriotik dan sumbangkan masa, tenaga dan kepakaran kepada negara dalam apa juga bentuk yang kita mampu.

Sayangi Malaysiaku

Hamdan
30 Ogos 2018

One Response to “Merdeka dan teknologi”

  1. Nurul Hazlina Noordin

    Pinjam dron!

    Kudos PM Hamdan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *