List

“Batu pun tidak akan dilekat lumut jika sering dihanyut air”.

2021, merupakan tahun ke-18 berkhidmat di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan ia bukanlah tempoh yang singkat. Selepas lelah dan sesak di bandar raya Kuala Lumpur selama empat tahun (2000-2004) berkhidmat di sana. Empat kali bertukar kerja dan pernah berkhidmat di dua buah universiti tersohor di sana.  Universiti Malaya (UM) dan juga Universiti Putra Malaysia (UPM) secara kontrak, akhirnya rezeki di bumi Pahang Darul Makmur. Lebih dekat dan lebih rapat dengan kampung halamanku di Terengganu.

­Sebagai graduan sarjana muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan terjun pula ke bidang Sains Perpustakaan bukanlah pilihan yang dirancang. Ia adalah secara kebetulan. Kebetulan kerana berkhidmat di UM dan ini memudahkan untuk menghadiri kelas di sebelah petang seusai waktu bekerja.

Namun, bagi peroleh rezeki yang berkat dan bertahan dengan kerjaya ini saya menyusun keperluan untuk terus meningkatkan momentum dan memberi kepuasan kepada diri dalam kerjaya.

Berkhidmat dalam Gred S atau mana-mana gred khusus selain gred N menyebabkan kita mungkin berada lama di sesuatu jabatan itu. Bagi meningkatkan momentum, ini boleh diamalkan sepanjang perkhidmatan:

  1. Cari sesuatu yang kita minat selain dalam bidang kerjaya tetapi masih dalam ruang lingkup organisasi. Contohnya, jika minat Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM), maka ambil peluang menjadi auditor atau penyelaras dan sebagainya. Cuba untuk mendalami perkara tersebut sehingga boleh dijadikan rujukan oleh jabatan atau organisasi. Jika minat dalam bidang penulisan pula, hadiri kursus berkaitan dan mahirkan diri dalam penulisan. Sumbang kemahiran menulis pada buletin jabatan, universiti dan juga pihak luar. Ini akan memberi anda kepuasan sampingan. Dari semasa ke semasa kemahiran tersebut akan terus berkembang dan insya-Allah anda akan berpuas hati.

 

  1. Terlibat dalam jawatankuasa terutama di luar jabatan seperti Majlis Konvokesyen, Hari Kualiti dan ebagainya. Kerja dalam berpasukan seperti jawatankuasa bukan sahaja membina hubungan yang lebih baik dengan rakan dalam organisasi tetapi juga mampu meningkatkan kemahiran kita dalam menguruskan sesuatu.

 

  1. Kerja kesukarelawanan. Dalam organisasi banyak menawarkan kerja-kerja sukarela. Ia tidak terikat seperti menjadi ahli jawatankuasa. Jadi tidak perlu komitmen yang lama. Kerja sukarela merupakan khidmat bakti kita dan ia dapat meggeratkan hubungan antara para sukarelawan dan juga yang menerima bantuan.

 

  1. Berpersatuan atau bersukan. Tidak semua orang berminat untuk menjadi ahli jawatankuasa. Jadi, bolehlah terlibat dengan persatuan atau sukan. Sukan bukan sahaja meningkatkan kesihatan fizikal tetapi juga kesihatan mental. Boleh sertai sukan peringkat jabatan, universiti dan sebagainya. Tetapi jangan disebabkan aktif bersukan sehingga menjejaskan prestasi kerja. Ingat, jangan jadikan alasan bersukan hingga terbengkalai tugasan. Ini akan memberi persepsi yang tidak baik oleh ketua jabatan kepada orang yang bersukan.

 

  1. Sentiasa tanam minat untuk belajar perkara baharu. Bukan sahaja dengan menghadiri latihan bahkan melalui pembacaan dan bertukar ke skop kerja berbeza akan memberi mood yang berbeza. Jangan suka berada di zon selesa yang sama sehingga pengetahuan dan pengalaman tidak bertambah. Sekiranya jabatan kita memang unitnya tidak banyak dan staf pun tidak ramai maka terapkan kaizen, kreativiti dan inovasi dalam melakukan kerja. Kerja yang sama tetapi proses yang berbeza. Kerja yang berbeza output yang sama. Sentiasa ada ruang penambahbaikan dalam organisasi dan proses kerja baharulah ada peningkatan dalam produktiviti dan kualiti.

Lima perkara di atas mestilah ditunjangi dengan reda dalam mencari rezeki yang berkat. Pastikan hati sentiasa tenang dalam memikul tanggungjawab. Dalam kerjaya sama ada pendek atau panjang tempoh perkhidmatannya, pasti ada ujian, halangan dan rasa tidak puas hati dengan pelbagai pihak baik ketua, rakan sekerja atau staf  di bawah seliaan.  Itu lumrah!. Kerana kita manusia penuh dengan kekurangan dan kerap melakukan kesilapan. Tetapi bangkitlah perbaiki  kesilapan dan teruskan perjuangan dalam mencari rezeki.

 

Siti Aishah Ghani

Ketua Bahagian Perkhidmatan Pengguna

Perpustakaan UMP

Nota: Artikel ringkas ini disemak oleh Puan Safriza Baharudin (Pegawai Penerbit,UMP). Terima kasih buat beliau yang tidak pernah jemu menyemak tulisan rakanmu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *