Sumber gambar: https://quotefancy.com/quote/1585153/
Ada tak di antara pembaca, apabila ditukar ke organisasi baharu atau jabatan baharu atau lokasi baharu membina impian baharu?
Impian untuk organisasi atau impian untuk kemajuan kerjaya?
Impian atau angan-angan?
Mungkin setelah 5 tahun, 10 tahun ia tetap menjadi impian tidak pernah dicapai dan tiada jalan untuk mencapainya. Jadi jika impian sebegitu, jadikan ia mimpi bukan impian.
Kalau berimpian, binalah jalan untuk meraihnya.
Kalau berimpian, jadikan ia realiti.
Apa impian anda tahun hadapan?
Saya masih teringat, semasa bertugas di Institut Pengajian Siswazah, Universiti Malaya sebagai pembantu penyelidik tahun 2002-2004, Timbalan Dekan pada waktu itu sangat komited dalam MS ISO 9001:2000. Kesungguhan beliau membuat saya membina impian untuk terlibat dalam MS ISO dan juga TQM. Saya ingin mendalaminya. Impian itu direalisasikan pada tahun 2007 di Universiti Awam di Pantai Timur iaitu UMP. Lama kan?
Terima kasih buat Jabatan Perpustakaan dan UMP kerana sudi memberi peluang itu kepada saya. Pada tahun yang sama kursus auditor untuk MS ISO 9001 dan juga Amalan 5S. Tidak terhenti di situ, saya menukar impian kepada minat yang mendalam untuk memahami TQM. Impian untuk menyumbang kepada universiti. 2009 universiti mula terlibat dengan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan sekali lagi dipilih untuk menjalankan projek KIK Jabatan. Alhamdulillah, atas komitmen semua ahli eLIB, pasukan KIK berjaya ke peringkat kebangsaan pada tahun 2010. Selepas pencapaian itu, diberi peluang menjadi juri di peringkat universiti dan juga peringkat negeri Pahang. Kadangkala dijemput menjadi penceramah untuk membantu melaksanakan KIK.
Impian yang ditanam pada tahun 2002 menjadi kenyataan dan menjadi semangat untuk saya berusaha bersungguh-sungguh dalam menggalas tanggungjawab tersebut.
Jadi, apa impian anda yang sudah tercapai?
Masihkah dalam proses atau telah terkubur dalam zon selesa dengan beranggapan kenapa perlu bersusah payah.
Jika belum ada impian, binalah impian kerana dengannya anda akan melalui hari-hari dengan lebih bersemangat!
Jangan pernah berhenti membina impian untuk diri, keluarga dan organisasi.
Selamat mencapai impian buat semua pembaca!
Salam bukan mimpi daripadaku
-Aishah Ghani-
Leave a Reply