Assalamualaikum & salam buat semua pembaca,
Lama tidak bersiaran di blog. Hari ni apa yang ingin dikongsi adalah panduan buat pekerja sama ada yang baru masuk dunia pekerjaan atau yang telah beberapa tahun menabur budi.
Sepanjang 15 tahun berkerjaya di sini dan 4 tahun di universiti lain, saya banyak memerhati, melihat dan memberi nasihat/pandangan. Ramai antara kita apabila ditanya untuk memikul tanggungjawab sering menepis kepada orang lain atau mengelak.
Kenapa?
-Mungkin tidak ingin menambah kerja.
-Mungkin malas
-Mungkin tidak berhasrat penambah pengalaman.
-Suka menunggu giliran
Apapun alasan, apabila ada peluang di depan mata, rebutlah! Ambillah! untuk membangunkan diri kita sendiri. Setiap tugasan dan tanggungjawab adalah peluang untuk memperbaiki diri, memasarkan diri, meningkatkan kompetensi.
Ini antara alasan yang kerap diberi:-
i. Ada lagi yang senior kenapa suruh saya.
ii. Jika ada rakan seusia bekerja, berikan kepada dia (rakan kerana saya telah ada tugasan lain).
iii. Saya tidak biasa. Macam mana kita nak meningkat pengetahuan/pengalaman, jika asyik beralasan. Peluang tidak akan datang selalu.
Beribu alasan untuk meletakkan diri di zon selesa tanpa menambah ilmu & pengalaman. Apabila kita memasuki alam pekerjaan, kita mesti jelas ilmu dan kemahiran apa yang ingin kita bina dalam kerjaya ini. Ada pekerja yang minat menulis, Jadi, selain tugas hakiki beliau, beliau akan menceburkan diri dalam bidang penulisan sama ada menulis artikel umum, berita, teks ucapan dan sebagainya. Kemahiran itu digilap dan direbut melalui peluang -peluang yang diberikan hingga boleh menulis buku. Kemudian menjana pendapatan melalui penulisan.
Nah!.. Itu bukanlah suatu yang sia-sia kan?
Ada juga yang minat merekebentuk dan mengambil foto. Beliau mengasahkan diri dalam bidang fotografi dan juga rekabentuk. Seterusnya menjadi jurufoto sambilan berbayar.
Pengalaman saya sendiri, apabia berkhidmat di sini, saya telah beritahu diri sendiri untuk mendapatkan ilmu dalam bidang pengurusan kualiti. Ini kerana bekas bos di UM dahulu memberi saya gambaran yang menarik berkenaan kualiti sehinggakan saya jatuh cinta!
Alhamdulillah hasrat itu direalisasikan, apabila pencarian pasukan Amalan 5S, pasukan MS ISO 9001:2008 saya menawarkan diri untuk turut serta.
Dari situ saya kembangkan minat dan pembangunan diri dalam bidang TQM dan mula menceburkan diri dalam Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK). Dari ketua kumpulan ke fasilitator, kemudian panel juri peringkat negeri Pahang hingga dijemput untuk memberi ceramah dan perkongsian di dalam dan luar universiti. Bukankan ini menambah nilai pada diri saya?
Saya akui ramai mengatakan saya pustakawan sewajarnya saya mengembangkan kemahiran saya dalam bidang kepustakawanan. Tetapi peluang itu tidak banyak untuk direbut dan diberi kepada saya. Dan saya percaya dalam apa jua bidang kerjaya kita, kita tidak semestinya menghadkan pembangunan diri kita dalam bidang tersebut sahaja.
Peluang di dalam organisasi seperti universiti memberi kita banyak peluang dan ruang untuk pembangunan diri.
Yang penting? Rebutlah peluang jika diberi. Carilah peluang jika ia tidak hadir sendiri.
Bagaimana untuk merebut peluang?
i. Menawarkan diri bagi program di peringkat jabatan atau jabatan yang lain
ii. Rapatkan diri dengan senior, tentu mereka boleh membuka peluang untuk anda.
iii. Sertai persatuan untuk meluaskan pergaulan dan juga mencari peluang.
Jika kita telah terlalu lama dalam bidang tersebut dan menyebabkan kita telah bosan atau komitmen kita telah bertambah maka carilah peluang dalam perkara lain pula. Kembangkan kemahiran dalam bidang lain agar kita tetap membangunkan diri sendiri dan mengelakkan simptom kebosanan. Proses pembangunan diri jangan pernah terhenti. Belajar dan belajar.
Haaa….Dah panjang lebarkan? Macam celoteh pula. Apapun saya berharap penulisan ini memberi sedikit sebanyak kepada pembaca semangat untuk merebut peluang yang ada untuk pembangunan diri.
Mungkin antara kalian akan berkhidmat 15 tahun lagi, 20 tahun lagi bahkan mungkin lebih.
Kita perlu selalu memotivasikan diri sendiri agar selalu positif, semangat dalam kerja yang kita lakukan. Melalui apa? Lakukan perkara yang kita minat atau berbakat untuk pengembangan diri.
Semoga para pembaca semua sentiasa sukses!
#Kongsidaripangalaman
#kongsidarihati
-Aishah Ghani-
Jumaat; 14:12pm
Leave a Reply