Arak Haram Diharamkan
Saya rasakan topik arak sangat sensitif kerana ramai mangsa telah menjadi korban. Ia bukan perkara baharu. Malah hari iniĀ telah menjadi permainan politik untuk memperoleh merit. Mereka menggunakan statistik kes kemalangan dan jenayah sebagai sebab untuk menghapuskan arak.
Sudah tentulah cabaran untuk mengharamkan terus penjualan arak kerana permintaan peminum arak dan industri yang lahir untuk tujuan produksi. Namun masih terdapat salah faham dan mungkin ramai yang tidak mengetahui maksud tersirat yang berlaku di sebalik pasaran ini. Baru-baru ini, kes yang melibatkan kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk yang merempuh gerombolan kanak-kanak penunggang basikal menjadi kemuncak kepada sentimen perpaduan. Lebih malang lagi, isu ini mengheret kepada isu perkauman apabila melibatkan dua bangsa berbeza. Kes seumpama ini menjadi semakin parah apabila wujud pula kes baharu melibatkan aksi samseng pemandu jalan raya dalam isu berasingan.
Daripada dapatan ini, tentu sekali dokongan dan desakan marhaen untuk menghapuskan terus arak dari lanskap sosial. Rentetan itu, terjelmalah referendum, memorandum dan suara-suara memaksa kerajaan melakukan sesuatu. Di sebalik kehangatan itu, tidak dilupakan kumpulan-kumpulan liberalis yang menjulang kebebasan individu dalam ruang dimensi berasingan. Mempertahankan kepercayaan neutral. Berpandukan kepada hak asasi dan kebebasan suara, mereka membantah pengharaman arak.
Menurut kaedah fiqh Islam, sesuatu yang memabukkan adalah najis. Ini menurut Mazhab al-Syafie, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Bersandarkan firman Allah SWT:
Manakala menurut ekonomi, sesuatu barangan akan hanya wujud apabila terdapat permintaan. Dalam sesebuah negara normal, makanan akan masuk dalam pasaran apabila rakyat lapar. Begitulah sebaliknya jika rakyat haus, minuman pula akan masuk dalam pasaran. Bayangkan dalam suasana pandemik, kerajaan terpaksa mententeramkan rakyat bahawa bekalan makanan mencukupi. Masakan tidak, krisis makanan akan menyebabkan semua orang menjadi huru-hara. Jutawan pun sudah pasti mengemis jika kebuluran menjelang. Jika makanan dan minuman diharamkan, rakyat pasti akan mencari alternatif mendapatkan dari pasaran gelap. Apa khabar dengan perisian Windows dalam komputer dan aplikasi berbayar yang anda gunakan?
Ironinya, seperti rokok dan arak yang diharamkan akan melahirkan pasaran gelap yang lebih pesat seiring permintaannya. Dapatan dari data 2014 menunjukkan 11.6 peratus rakyat Malaysia bersamaan tiga juta orang peminum arak. Malah 23 peratus dari angka ini adalah kumpulan berisiko tinggi. Bayangkan jika kerajaan tidak mengenakan cukai ataupun menutup kilang arak, betapa banyak keuntungan yang diperoleh dari penjualan arak oleh pasaran gelap?
Bayangkan pula apabila tiada kawalan kerajaan dengan mengenakan Akta Makanan 1983, pengharaman arak akan mengeruhkan lagi keadaan yang menyebabkan kematian kerana keracunan arak dan tidak kurang mereka yang mabuk tanpa mengetahui kandungan terlarang dan berbahaya di dalam arak.
Kerajaan pula dinafikan hak kutipan cukai untuk menampung masalah kesihatan disebabkan arak. Dalam masa yang sama, kerajaan juga harus mengeluarkan belanja untuk merawat golongan yang sakit akibat keracunan arak. Tanpa mengetepikan pandangan Islam berkait pengharaman arak, satu konotasi sepadan dan kajian mendalam perlu diambil kira sebelum suatu penguatkuasaan dijalankan apatah lagi Malaysia merupakan negara masyarakat majmuk dan pelbagai ragam rakyatnya.
Semoga dengan komitmen untuk memperkasa undang-undang dapat menjadi solusi segala masalah yang melibatkan arak.
Mohamad Hasnur Abdul Hamid
Pusat Islam dan Pembangunan Insan
Universiti Malaysia Pahang
Ketua Biro Penerangan
Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf UMP
2020-2022
mhasnur@ump.edu.my