SEJAHTERA terima peruntukan khas universiti
PEKAN, 27 November 2020 – Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf (SEJAHTERA) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang ditubuhkan pada 8 Oktober 2019 akan menerima peruntukan khas universiti bagi melaksanakan aktiviti sosial, sukan, kerohanian dan kebajikan bagi ahlinya.
Menurut Pekeliling Bendahari Bil. 6 Tahun 2020 yang telah dikeluarkan, UMP bersetuju untuk menyediakan peruntukan khas tersebut dan ia tertakluk kepada kadar dan syarat yang ditetapkan sebagai mana Pekeliling Perbendaharaan WP8.1 Peruntukan Khas Kerajaan Kepada Kelab Kebajikan dan Sukan iaitu SEJAHTERA.
Merujuk kepada pekeliling tersebut, kadar dan syarat pengeluaran peruntukan khas adalah melibatkan Sumbangan Asas sebanyak RM10 seorang ahli setahun dan Matching Grant bagi setiap ringgit yuran bulanan yang dibayar oleh ahli maksimum RM20 setiap ahli setahun.
Menurut Presiden SEJAHTERA, Dr. Muhammed Nafis Osman Zahid, sehingga November 2020 seramai 654 orang staf telah berdaftar menjadi ahli SEJAHTERA.
“SEJAHTERA berharap agar pertambahan ahlinya sebanyak 70 peratus staf UMP iaitu dalam kalangan staf tetap, kontak dan sambilan menjelang 2021 dan sama-sama menerima faedah dari penubuhan SEJAHTERA.
“Peruntukan Khas yang akan diterima SEJAHTERA ini juga adalah bagi menggerakkan pelbagai aktiviti SEJAHTERA dan mengelakkan persatuan mendapatkan sumbangan atau tajaan dari sektor swasta.
“Matlamat utama SEJAHTERA adalah menjaga kebajikan dan kesejahteraan ahli dalam melaksanakan aktiviti kebajikan dan kesejahteraan demi kepentingan ahli,” ujarnya.
SEJAHTERA juga ditubuhkan sebagai perantara antara ahli dengan pengurusan universiti dalam aspek kebajikan, kesejahteraan dan mengadakan jaringan kerjasama dengan persatuan atau pertubuhan lain selari dengan tujuan penubuhan SEJAHTERA.
Nor Hafizah Fadzillah
Setiausaha
Persatuan Kebajikan & Kesejahteraan Staf UMP Sesi 2020/2022