Sejenak bersama Prof. Ts. Dr. Ruzaini Abdullah Arshah
Sejenak bersama Prof. Ts. Dr. Ruzaini Abdullah Arshah
Oleh:
Abd. Hamid Majid
Timbalan Presiden SEJAHTERA
Sejak pertama kali bertemu dengan insan yang bernama Ruzaini sekitar tahun 2016, iaitu semasa saya baharu lagi di UMP, saya tertarik dengan perwatakan belau yang sering tersenyum dan lemah lembut dalam tutur bicara. Saya dapat rasakan beliau seorang yang berilmu, kerana bak kata perpatah, orang yang berilmu itu ibarat padi, semakin berisi semakin merunduk.
Memang benar tekaaan saya, beliau seorang yang berpengetahuan dan berpengalaman. Kerjaya Profesor Ruzaini di UMP bermula sejak awal penubuhan UMP pada 2002. Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Jurunalaisa Sistem di Universiti Teknologi Malaysia(UTM) selama lebih 15 tahun (1983 – 2001) dan seterusnya sebagai pensyarah (2001 – 20012) sehinggalah penubuhan Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM) dan sekarang dikenali sebagai Universiti Malaysia Pahang(UMP). Beliau telah dilantik menerajui Fakulti Sistem Komputer & Perisian(FSKP) pada waktu itu.
Ditanya tentang cabaran sepanjang kerjaya beliau di UMP, beliau menjelaskan semasa menjawat jawatan dekan, beliau dan pasukan perlu bekerja lebih keras memandangkan pada masa itu bidang pengajian komputer tidak begitu digemari. Beliau bersama rakan-rakan berusaha keras dalam menyediakan kurikulum pengajian yang berupaya melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya maju. Beliau bersyukur, benih yag disemai, akhirnya berbuah apabila 95 peratus graduan yang dihasilkan diterima dalam pasaran kerja.
Perbualan kami semakin rancak, jelas terlihat bahawa beliau sangat bangga menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMP. Beliau mengimbau kembali, bagaimana hubungan kekeluargaan UMP menjadi begitu akrab dan sempat berkongsi bahawa pada suatu ketika dahulu, setiap pagi Isnin akan berlangsung perhimpunan iaitu rektor dan rakan sekerja yang lain akan menyampaikan tazkirah, motivasi dan berkongsi pengalaman. Beliau mengakui untuk mengadakan perhimpunan tersebut pada masa sekarang adalah agak sukar kerana bilangan ahli keluarga UMP agak besar. Namun begitu, beliau percaya, melalui program-program universiti seperti Amanat Naib Canselor, Sukan Staf dan sebagainya, semangat ukhuwah ini dapat dikekalkan.
Sambil berseloroh, beliau menyatakan bahawa keluarga besar UMP kini sangat beruntung kerana kemudahan untuk beriadah semakin banyak. Kalau dulu menurut beliau, serba kekurangan, namun semangat mewakili KUKTEM dalam kejohanan Sukan Antara Universiti pada masa itu dan semangat setiakawan menjadi pengalaman manis yang selalu diingati dan dihargai oleh beliau dan rakan-rakan.
Pandangan beliau dilontarkan keluar jendela pejabatnya sambil merenung kampus UMP yang semakin berkembang pesat. Beliau bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan kepada UMP pimpinan yang telah berjaya membawa UMP mangharungi cabaran menuju kepada kecemerlangan. Dari universiti berfokus kepada technology-based sahaja, UMP terus bergerak menempatkan dirinya sebagai sebuah universiti yang juga hebat dalam bidang penyelidikan dan boleh bersaing dengan universiti-universiti penyelidikan di Malaysia.
Matanya yang bercahaya ketika bercerita tentang kejayaan UMP tiba-tiba menjadi redup. Beliau lantas berkongsi bahawa beliau terkenang rakan-rakan sekerja yang pernah bersama beliau mengharungi pahit manis pada awal penubuhan KUKTEM yang telah dijemput mengadap Ilahi iaitu Allahyarham Azian Abd Rahman, Allahyarham Dr. Hajah Aini Ahmad, Allahyarham Arman A. Rahim dan Allahyarham Profesor Madya Dr. Mohammad Rozi Hasan. Dengan suara yang perlahan, beliau menyatakan bahawa, hakikat kehidupan kita ini adalah sangat singkat dan gunakanlah peluang ini dengan penuh bijaksana sebelum kita kembali mengadap Pencipta kita.
Petang itu, saya berasa amat beruntung kerana berkesempatan untuk berbual-bual dengan Profesor Ruzaini dan berkongsi pengalaman beliau. Terima kasih profesor.