Menambah Kapsul Rajin Dalam Diri
MENAMBAH KAPSUL RAJIN DALAM DIRI
Oleh:
Paridah binti Mohd Ali
Apa yang anda rasa apabila ada yang memuji anda bahawa anda seorang yang rajin? Pasti terasa amat bangga dan gembira dengan pujian itu. Namun bagaimana pula jika anda dilabelkan sebagai malas? Tentu rasaya tidak selesa dan marah bukan? Malas akan menyebabkan kita mudah berasa selesa dengan keadaan diri kita, persekitaran kita serta gerak kerja kita. Kita sukar untuk melakukan perubahan kerana yakin itulah nasib dan takdir hidup kita. Sedangkan Islam mengajar ummatnya untuk berusaha dan bertawakkal kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah , Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu yang mengubahnya. Maka pilihan untuk menjadi rajin atau malas adalah dalam tangan kita sendiri.
Bayangkan jika kapsul rajin ini boleh dibeli di mana-mana farmasi dan kedai ubat , saya pasti jualannya amat laris. Ini kerana, kapsul hanya perlu diambil apabila anda mahu menjadi rajin dan disimpan apabila anda malas. Jadi, sebagai seorang siswa, masa yang sangat sesuai untuk mencari kapsul ini ialah semasa menghadapi peperiksaan dan menyiapkan tugasan. Pasti kapsul ini lebih laris berbanding kapsul ubat kuat yang sering diiklankan dalam televisyen dan Internet. Malahan semua ibu bapa perlu menyediakan bajet khas untuk membeli kapsul ini untuk anak-anak mereka terutama yang akan menghadapi peperiksaan tetapi adalah satu khayalan dan impian Mat Jenin semata-mata.
Sebenarnya di dunia ini tiada istilah orang yang pandai atau bodoh. Yang wujud adalah mereka yang rajin atau malas. Sikap malas adalah satu sikap yang kebanyakkan di antara kita amat suka menangguhkan kerja dan membuatnya di saat-saat akhir. Alasan yang diberi adalah sibuk, tiada masa dan idea datang pada saat-saat akhir. Sikap malas akan mengakibatkan kita tidak menggunakan potensi dan kehebatan kita yang sebenar dan pengakhirannya kita mendapat keputusan yang mengecewakan. Saya sering berjumpa dengan klien yang mendapat keputusan akademik yang rendah dan gagal dalam subjek tertentu. Antara alasan mereka ialah malas berjumpa pensyarah, malas datang ke kuliah, malas bangun pagi kerana tidur lewat pada malam sebelumnya dan paling bahaya adalah malas menunaikan solat bagi yang beragama Islam.
Walau bagaimanapun, perkataan malas ini bukanlah berunsur negatif semata-mata malahan ia boleh digunakan dalam bentuk yang lebih positif. Caranya ialah melahirkan perasaan malas untuk membuang masa, malas bersembang kosong yang tidak memberi manfaat apa-apa dan malas untuk melepak di kedai mamak tanpa ada tujuan yang penting. Malangnya ramai di antara kita yang tidak mahu menggunakan perasaan ini secara positif. Persoalan yang bermain di fikiran saya ialah bolehkah perasaan malas ini dikikis dan bagaimana pula caranya? Memanglah kalau mahu dibandingkan di antara belajar dan bermain pastilah pilihan untuk belajar itu membosankan. Tetapi mereka yang telah berjaya pada awalnya juga menghadapi sindrom malas ini tetapi mereka melakukan satu perkara iaitu PAKSA DIRI. Apabila anda mula paksa diri atau berjihad menentang perasaan malas, maka sedikit demi sedikit kita mula menguasai minat dan kebolehan dalam sesuatu perkara atau pekerjaan. Dari situ, minat mula tercetus dan anda tidak perlu lagi untuk paksa diri atau mencari kapsul rajin kerana segalanya menjadi mudah untuk dilakukan. Malahan anda akan rasa lebih bersemangat apabila berada dalam persekitan yang positif.
Sebagai seorang pelajar, carilah rakan-rakan yang positif seperti mereka yang suka mengerjakan solat di masjid dan di awal waktu. Anda akan mudah terikut-ikut dengan amalan tersebut, pastikan anda dapatkan rehat serta tidur yang berkualiti. Membaca buku-buku motivasi atau mendengar ceramah atau tazkirah juga boleh membantu untuk kekal postif dan rajin. Ini kerana persekitan amat berkait dengan perasaan rajin dan malas. Ada ketikanya rasa malas itu disebabkan oleh oksigen yang dibekalkan ke otak berkurangan. Otak memerlukan 25 peratus daripada bekalan oksigen yang dihantar ke badan untuk berfungsi. Oleh itu, apabila kita selesai makan makanan yang berat seperti nasi, maka diri akan berasa malas keranan sebahagian besar oksigen digunakan untuk menghadam makanan. Amalkan teknik pernafasan iaitu dengan menarik nafas dalam–dalam dan menghembus keluar perlahan-lahan beberapa kali. Badan kita akan rasa segar serta-merta kerana terkumpulnya oksigen yang banyak dalam badan. Teknik ini sangat bagus diamalkan ketika berada di tempat yang banyak pokok tumbuhan menghijau kerana disitulah banyak oksigen dikeluarkan dari tumbuh-tumbuhan. Dan akhir sekali sudah pasti senjata umat Islam adalah berdoa seperti mana Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60:“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku akan perkenankan doa permohonan kamu”. Sama ada hasil yang dipohon itu hadir lambat atau cepat adalah tidak penting tetapi yang penting kita sebagai hamba melakukan apa yang disarankan dalam al-Quran.
Rajinkan diri untuk berdoa setiap masa agar dihindari perasaan malas yang negatif dan diberikan kerajinan pada diri terutama untuk beribadah pada Allah SWT.