Perubahan Itu Pilihan Kita
PERUBAHAN ITU PILIHAN KITA
Oleh:
Paridah Mohd Ali
Catatan ini saya coretkan apabila usai melihat pelajar-pelajar baharu yang mendaftar ke UMP. Tahniah dan syabas buat mereka yang berjaya melangkah masuk ke alam baharu iaitu alam universiti. Ia adalah satu alam baharu buat mereka yang baharu sahaja meninggalkan alam persekolahan. Mungkin akan ada dalam kalangan mereka yang mengalami kejutan budaya. Maklumlah sepanjang hidup tidak pernah terpisah dengan ibu bapa dengan jarak yang jauh dan tempoh yang lama. Maka, akan adalah yang mengalami ‘home sick‘ terutama mereka yang tinggal nun jauh di utara mahupun selatan apatah lagi yang menyeberangi Laut China Selatan iaitu Sabah dan Sarawak.
Tetapi jangan hairan yang tinggal di bandar Kuantan juga kadang-kadang akan mengalami sindrom ini juga kerana mungkin tidak pernah berkongsi bilik dengan orang lain. Saya pernah mendapat klien yang agak sukar menyesuaikan diri untuk tinggal di kolej kediaman yang memerlukan dirinya berkongsi dengan orang lain kerana di rumah, beliau mempunyai ruang sendiri. Beliau memohon untuk dapat tinggal bersendirian kerana tidak selesa dengan rakan sebilik. Klien saya merasakan privasinya terganggu apatah lagi beliau perlu menghormati hak rakan sebiliknya yang mungkin tidak begitu sesuai dengan prinsip hidup beliau. Yalah, mungkin rakannya seorang yang suka memasang muzik dengan kuat ketika belajar, mungkin juga suka memasang lampu sewaktu tidur malahan mungkin suka membawa rakan-rakan lain ke bilik.
Maka semua yang berlaku itu sangat bertentangan dengan diri klien yang suka ketenangan, tidur dalam keadaan lampu tertutup malahan kurang suka orang asing berada dalam biliknya. Maka di sini, perubahan perlu berlaku. Klien sewajarnya membincangkan hal ini dengan rakan sebiliknya agar wujud toleransi. Mereka sepatutnya memahami erti menjaga hak jiran yakni rakan sebilik apatah lagi rakan baharu yang masih belum dapat menyesuaikan diri. Saling menghormati hak sesama rakan akan dapat menyelesaikan pelbagai isu apatah lagi buat mereka yang baharu merasakan perubahan dalam kehidupan dan berjauhan dengan keluarga. Yang sering menjadi isu adalah komunikasi yang tidak selari dan satu pihak hanya memendam perasaan, menjeruk rasa dan akhirnya wujud perselisihan tanpa memikirkan jalan penyelesaian.
Selain itu, perubahan dalam mengendalikan aktiviti seharian juga perlu dirasai apatah lagi konsep di Institusi Pengajian Tinggi(IPT) menekankan siswa siswi untuk belajar menguruskan kehidupan sosial malahan waktu pengkuliahan. Mereka seharusnya tahu mengendalikan masa dengan baik. Tahu waktu untuk belajar dan ke kuliah, waktu untuk bersantai dan beriadah, waktu untuk menguruskan kain baju kotor untuk dicuci malahan tahu waktu untuk tidur. Semuanya harus dilakukan sendiri tanpa bantuan orang lain dan tidak seperti semasa tinggal bersama ibu bapa dan keluarga. Namun, hakikat sebagai seorang manusia, selagi tidak duduk berasingan dengan ibu bapa atau keluarga kita kurang menghargai apa jua pengorbanan yang diberikan pada kita. Maka apabila tinggal berasingan kita akan menjadi lebih bertanggungjawab dan menghargai jasa orang lain. Ini adalah satu proses mematangkan diri untuk lebih berdikari dan persediaan untuk menjadi lebih dewasa. Satu perubahan yang positif yang perlu dicuba dan dialami apatah lagi sekiranya anda tercampak di bumi asing apabila bekerja kelak, pengalaman yang ada akan dapat membantu perubahan yang positif.
Seoarang ahli falsafah Barat pernah berkata, bahawa segala sesuatu di dunia ini mengalami perubahan termasuk perkembangan seorang manusia. Diri kita berubah dari bersaiz 50 cm ketika dilahirkan menjadi semakin lebar dan panjang sehingga mungkin 150 cm atau lebih tinggi lagi. Maka sebagai mereka yang bakal menginjak dari alam remaja ke alam dewasa, kita perlu berani berubah. Tetapi sepatutnya perubahan itu haruslah ke arah yang lebih baik dan positif. Menurut Stephen R. Covey, manusia diberikan kebebasan untuk memilih dan dalam hal ini kita boleh memilih untuk berfikir secara positif atau negatif. Oleh itu berbalik kepada diri kita, mahu pilih yang positif atau berterusan duduk dalam keadaan negatif, Perubahan itu pilihan anda, maka pilihlah untuk yang terbaik dengan bijak. SELAMAT DATANG KE UMP.