Malaysia harus berbangga kerana kita masih utuh dalam menjaga adat resam dan budaya. Sistem beraja di negeri-negeri Malaysia adalah satu sistem yang boleh dilambangkan sebagai khazanah negara yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Sistem beraja haruslah dilihat rakyat sebagai suatu institusi yang terus relevan waima tahun dan perubahan zaman.
Malaysia menyaksikan lagi sejarah baru terlakar dengan pertabalan Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-29 pada 22 Oktober 2018. Sedikit latar belakang Baginda Tuanku sebelum ditabalkan sebagai Sultan Kedah yang baharu. Pada tanggal 12 September 2017, Baginda diisytiharkan sebagai Sultan Kedah ke-29. Pengisytiharan dibuat berdasarkan Perkara 17 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah setelah kemangkatan kakanda baginda, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit pada 11 September 2017. Pengumuman perisytiharan Sultan Kedah yang baharu itu dibuat oleh Yang Amat Berhormat Mantan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah di Balairung Seri, Istana Anak Bukit. Keputusan melantik baginda sebagai Kebawah DYMM Sultan Kedah yang baharu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja Negeri Kedah. Baginda yang dahulunya merupakan Raja Muda Kedah diangkat menjadi pewaris takhta Kerajaan Kedah kerana Almarhum Sultan Kedah ke-28 tidak mempunyai anak lelaki. (Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Kedah)
Baginda juga turut berkenan untuk menggunakan gelaran KDYMM Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman ke-29. Semoga Negeri Kedah khususnya dan Malaysia amnya terus maju dan cemerlang di bawah pemerintahan Tuanku.
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Pewaris Kesultanan Kedah baharu, DYTM Tengku Sarafudin Badlishah ibni Sultan Sallehuddin
Leave a Reply