Oleh: Nabila binti Abdul Malek & Noraisah Nurul Fatwa binti Mohd Razali
Petang itu, Anis duduk di perpustakaan sambil menyiapkan tugasan. Perutnya sudah mula berkeroncong, tetapi dia masih bertahan. Mujur universiti menyediakan juadah berbuka percuma di dewan makan setiap hari sepanjang Ramadan. Itu sedikit sebanyak membantu pelajar yang berjimat seperti dirinya dan rakan-rakan.
“Liya, jom ke dewan makan. Kalau lambat, takut habis juadah sedap,” kata Anis sambil mengemas barangnya.
Liyana, rakan sebiliknya, menguap kecil. “Nasib baik ada makanan percuma. Kalau tidak, aku berbuka dengan biskut kering je.”
Mereka berjalan ke dewan makan universiti, yang sudah mula dipenuhi pelajar. Beberapa sukarelawan dari pihak universiti sedang mengagihkan makanan – nasi beriyani, ayam masak merah, kurma, dan air sirap. Bau makanan membuatkan perut Anis semakin lapar.
“Alhamdulillah, banyak juga pilihan hari ini,” kata Farhan, rakan sekelas mereka, yang baru tiba. Dia membawa dulang dengan sepinggan nasi dan semangkuk bubur lambuk.
Mereka bertiga mengambil makanan masing-masing dan mencari tempat duduk. Suasana berbuka di dewan makan begitu meriah, seolah-olah seperti suasana kenduri. Pelajar daripada pelbagai fakulti berkumpul, berbual sambil menunggu waktu Maghrib.
“Bagus juga universiti buat macam ni. Sekurang-kurangnya kita tak perlu risau tentang duit makan sepanjang Ramadan,” kata Anis sambil tersenyum.
Farhan mengangguk. “Ya, dapat berjimat. Tapi yang paling best, kita boleh rasa nikmat berbuka beramai-ramai. Macam berbuka dengan keluarga sendiri.”
Azan Maghrib berkumandang, dan semua pelajar serentak membaca doa tanda bersyukur. Mereka menikmati makanan dengan penuh nikmat, menyedari bahawa Ramadan di kampus bukan sekadar tentang berpuasa, tetapi juga tentang kebersamaan, kesederhanaan, dan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan.