Ramadan di kampus

Oleh: Nabila binti Abdul Malek & Noraisah Nurul Fatwa binti Mohd Razali

Petang itu, Anis duduk di perpustakaan sambil menyiapkan tugasan. Perutnya sudah mula berkeroncong, tetapi dia masih bertahan. Mujur universiti menyediakan juadah berbuka percuma di dewan makan setiap hari sepanjang Ramadan. Itu sedikit sebanyak membantu pelajar yang berjimat seperti dirinya dan rakan-rakan.

“Liya, jom ke dewan makan. Kalau lambat, takut habis juadah sedap,” kata Anis sambil mengemas barangnya.

Liyana, rakan sebiliknya, menguap kecil. “Nasib baik ada makanan percuma. Kalau tidak, aku berbuka dengan biskut kering je.”

Mereka berjalan ke dewan makan universiti, yang sudah mula dipenuhi pelajar. Beberapa sukarelawan dari pihak universiti sedang mengagihkan makanan – nasi beriyani, ayam masak merah, kurma, dan air sirap. Bau makanan membuatkan perut Anis semakin lapar.

“Alhamdulillah, banyak juga pilihan hari ini,” kata Farhan, rakan sekelas mereka, yang baru tiba. Dia membawa dulang dengan sepinggan nasi dan semangkuk bubur lambuk.

Mereka bertiga mengambil makanan masing-masing dan mencari tempat duduk. Suasana berbuka di dewan makan begitu meriah, seolah-olah seperti suasana kenduri. Pelajar daripada pelbagai fakulti berkumpul, berbual sambil menunggu waktu Maghrib.

“Bagus juga universiti buat macam ni. Sekurang-kurangnya kita tak perlu risau tentang duit makan sepanjang Ramadan,” kata Anis sambil tersenyum.

Farhan mengangguk. “Ya, dapat berjimat. Tapi yang paling best, kita boleh rasa nikmat berbuka beramai-ramai. Macam berbuka dengan keluarga sendiri.”

Azan Maghrib berkumandang, dan semua pelajar serentak membaca doa tanda bersyukur. Mereka menikmati makanan dengan penuh nikmat, menyedari bahawa Ramadan di kampus bukan sekadar tentang berpuasa, tetapi juga tentang kebersamaan, kesederhanaan, dan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan.

Kenangan Semalam bersama Sahabatku Allahyarham Iszuani

 

Sewaktu melewati kamar pejabatmu
Hati berdetik rasa sayu dan hiba
Kerana terasa masih seperti engkau ada
Seperti selalu bisa bertutur kata berbicara
Maafkanlah aku kalau tidak selalu bertanya khabar berita
Kerana aku tahu keadaanmu pasti tidak selalu ceria
Dek kesakitan membungkam di dalam dada
Sewaktu melewati kamar pejabatmu
Izinkan daku mengenang kisah yang lalu
Mengenang saat saat indah menongkah waktu
Di dalam permukiman menyebar ilmu
Buat anak didikku dan murid-muridmu
Sewaktu melewati kamarmu
Sekilas senyumanmu menerpa menjengah ke ingatan
Lembut indah tutur katamu terngiang-ngiang
Itulah kenangan terindah sebuah persahabatan
Riang ria bekerja satu jabatan
Sehinggalah ujian kesihatan meragut segenap peluang
Sewaktu melewati kamar ofismu
Didalam doa disetiap ada kesempatan
Aku akan selalu mendoakan
Semoga Allah memberikan setinggi-tinggi rahmat
Mendapat ganjaran pahala membina umat
Seperti ganjaran pahala para nabi dan Rasul
Menyebar Rahmat Allah ke sekelian pelusuk alam

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Dengan RahmatMu Ya Allah
Aku berdoa agar Engkau mengurniakan rahmat dan ampunanMu
Kepada sahabatku agar senantiasa dilimpahi rahmat
Sehingga kebangkitan di Jannatul Firdausi kelak
Wahai titisan hujan yang menitis
Wahai awam gemawan yang meneduh
Wahai dedaunan indah mekar dan meluruh
Wahai lembut bayu salju yang menghembus
Wahai putih kelopak kemboja
Wahai air yang damai mengalir di pinggir kali
Wahai dingin embun dinihari yang bertitisan lewat bening subuh
Wahai ikan-ikan dan seluruh makhluk yang berenang di lautan
Wahai unggas-unggas yang riang berkejaran di hutan
Wahai putih titisan salju yang berguguran menimpa dedaunan
Wahai malaikat yang teguh berzikir setiap siang dan malam
Wahai mentari pagi yang indah menyinari di celahan ufuk
Wahai mentari sore yang perlahan bersimpuh di lewat kaki langit
Wahai bintang malam pesona penuh gemerlapan di puncak awam
Dengan rendah hati aku memohon kalian
Agar selalu mendoakan sahabatku yang telah berpergian
Agar Allah menerima segala amalan
Dan memperganda setiap balasan menjadi rahmat kebaikan
Wahai Allah Tuhan sekelian alam
Ya Zaljallali wal Ikrom
KepadaMu kami memohon keampunan
KepadaMu kami memohon perlindungan
Selamatkan kami di sepanjang jalan pulang
Kerana hidup ini penuh liku dan dugaan
Terimalah sepenuh pengharapan kami garapkan
Agar menerima suratan amal di tangan kanan