Assalamualaikum & salam sejahtera,
Kali ini saya akan kongsikan beberapa tip dalam menulis teks ucapan. Oh ya, perkongsian ini sesuai untuk yang baru berjinak untuk menulis teks ucapan perasmi. Bagi yang ingin mahirkan diri, mestilah hadir kursus penulisan teks ucapan dan kerap menulis.
Penglibatan saya dalam menulis teks ucapan di peringkat jabatan bermula secara serius pada tahun 2009. Ini kerana selepas menghadiri kursus penulisan, ketua jabatan seolah-olah meletakkan tanggungjawab menulis teks menjadi tugas hakiki. Apabila ada majlis rasmi jabatan sama ada melibatkan peringkat jabatan atau universiti, maka saya akan sediakan untuk perasmi dan juga kata-kata aluan ketua jabatan. Jadi sepanjang lebih 10 tahun, saya kongsikan beberapa tip untuk mereka yang akan menulis teks ucapan.
- Fahami tajuk yang diberikan atau majlis yang aka berlangsung. Dapatkan kertas kerja dari penganjur lihat objektif, sasaran dan output. Bukan sekadar lihat tetapi bacalah kertas kertas tersebut dari awal hingga akhir.
- Dapatkan bahan-bahan rujukan sekurang-kurangnya 5 bahan hingga ke 10 bahan. Baca dan ambil beberapa isi penting yang mungkin berguna untuk menulis. Bahan yang perlu dicari boleh berbentuk teks ucapan, artikel dan berita. Buku kurang disarankan khuatir tidak sempat mendapatkan intipati dalam buku tersebut. Tetapi jika buku dan topik tersebut telah difahami oleh penulis, maka menjadikan buku sebagai rujukan tiada masalah.
- Mula menulis, tanpa hiraukan ejaan dan kesinambungan.
- Selesai 5 mukasurat tanpa selang/spacing, baca dan edit serta masukkan mana-mana isi yang tertinggal.
- Fahami gaya pembacaan perasmi atau yang akan membacakan teks ucapan anda. Sesetengah perasmi suka dimasukkan hadis atau ayat quran. Ada pula yang suka masukkan puisi atau mutiara kata dari tokoh terbilang. Jadi selitkan di mana perenggan yang sesuai.
- Setelah berpuas hati barulah edit teks dalam saiz 14 dan double spacing dan masukkan nombor dalam setiap perenggan.
- Sebagai penulis teks, solutasi mestilah mahir dan elakkan melakukan kesilapan nama dan panggilan.
- Struktur ayat, noktah dan koma perlu disesuaikan dengan intonasi perasmi atau yang akan membacakan teks tersebut.
- Mana-mana data yang bersumber, nyatakan dengan jelas dipetik dari mana.
- Sekiranya menulis teks ucapan Naib Canselor, akan ada pegawai khas beliau yanag akan mengedit ayat agar sesuai dengan gaya penulisan dan pembacaan NC. Perasan atau tidak gaya percakapan dan penulisan orang kenamaan hampir sama kerana mereka mempunyai pegawai khas yang akan menambahkan dan memperbaiki sesuatu penulisan. Penulisan dan teks ucapan mestilah mempunyai jiwa penyampai agar audien terpesona dengan bait-bait yang disusun.
Selamat mencuba!
-Aishah Ghani-
Kongsi dari pengalaman
Leave a Reply