List

 

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Tergerak hati untuk berkongsi rasa dan pandangan selepas sesi temuduga bagi jawatan Pustakawan S41 di UMP.

Sejujurnya telah agak lama tidak menjadi panel temuduga kerana situasi pandemik dan juga tiada pengambilan staf baharu di jabatan.

Pada 26 November yang lalu, sesi temuduga dijalankan secara dalam talian dan mengikut kumpulan/sesi.  Secara keseluruhannya:

  1. Datang awal sebagaimana temuduga fizikal. Dari 11 calon hanya 3 calon yang masuk 15 minit awal sebelum sesi bermula jam 9:00 bagi.
  2. Pastikan talian internet mantap bagi mengelakkan terputus dan terganggu sepanjang sesi temuduga. Jika perlu ke perpustakaan atau ke tempat lain yang lebih baik persekitaran dan talian internet, sila berbuat demikian.

Sesi temuduga berjalan dan apa yang saya ingin kongsi selaku salah seorang panel seperti di bawah:

  1. Pastikan menghantar dokumen/latihan/penilaian/kertas ujian yang lengkap. Pada sesi temubual kali ini terdapat ujian personaliti secara atas talian dan calon dikehendaki menjawab dan menghantar jawapan dalam MWord. Terdapat beberapa calon yang hanya menhantar link jawapan tanpa membuat salinan/memaparkan jawapan. Ini menunjukkan calon tidak memahami kehendak panel.
  2. Hadkan pengetahuan dalam bidang tugas sahaja? Oh tidak. Janganlah macam tu. Sebagai calon luaskan pengetahuan melalui pembacaan walaupun tiada pengalaman. Jangan sesekali hanya tahu menjawab “tidak pernah tahu dan belum ada pengalaman dalam perkara berkenaan”. Contoh, jika calon bertugas di bahagian pembelian bahan, tetapi proses menyediakan perkhidmatan dan perkhidmatan terkini juga perlu dihadam dengan baik. Cakna dan dalaminya!
  3. Majikan memang ingin mengambil yang berpengalaman, lebih matang dan bijak dalam mengurus pasukan dan kerjaya. Tetapi jika calon belum banyak pengalaman, maka jadikan diri luas pengetahuan dengan banyak membaca.
  4. Usia yang muda, semestinya diisi dengan menimba ilmu. Jadi carilah peluang belajar secara dalam talian, kursus jangka pendek dan sebagainya. Labur untuk ilmu, jangan harapkan percuma dari majikan atau kerajaan semata. Itu bukti anda komited dalam memperbaiki diri dan mempersiapkan ilmu yang diperlukan.
  5. Berbahasalah dengan yakin, dengan jelas dan menggambarkan kesungguhan anda dalam sesuatu bidang. Jika perlu, buat latihan menjawab soalan melalui pertuturan. Berlatih di cermin atau rakam video. Kurangkan ‘emmm..aaaaa” dan diam yang lama untuk menjawab soalan panel.

Sekadar itu celoteh daripada saya selaku salah seorang panel. Setiap panel ingin yang terbaik untuk jabatan dan organisasi dan kita cuba sebaik mungkin mencungkil kekuatan calon.

Salam perkongsian

-Aishah Ghani-

1/12/2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *