Assalamualaikum & salam sejahtera,
Cadangnya saya ingin menulis artikel berkaitan bekerja dari rumah tetapi memandangkan telah banyak penulisan yang diterbitkan
di surat khabar dan majalah. Jadi, saya tulis di blog sahaja. Santai dan lebih ringkas.
Apa yang ingin dikongsikan adalah kelebihan yang kami sekeluarga perolehi sepanjang bekerja di rumah dan sesi persekolahan secara dalam talian.
Tengok ringkasan di bawah untuk lebih faham.
Setiap individu dan keluarga berdepan kesan BDR yang berbeza. Bagi kami dengan seorang cahayamata yang masih bersekolah rendah
lebih mudah diuruskan berbanding dengan ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah. Tambah pening jika semua mengikuti kelas dalam talian secara serentak.
Memilih untuk menghantar anak untuk home schooling atau tuisyen di rumah adalah pilihan yang amat tepat pada saya. Ini kerana:
i. Tidak ramai bilangan pelajar iaitu antara 3-5 orang sahaja.
ii. Subjek lebih fokus dan anak mendapat rakan-rakan baharu.
iii. Mendorong untuk memperolehi mood belajar apabila berada di rumah bagi menyiapkan kerja sekolah.
iv. Membolehkan saya menumpukan perhatian sepenuhnya pada kerja dalam tempoh anak di pusat tuisyen atau di rumah guru tuisyen.
Mungkin ada yang bertanya berkenaan penjimatan untuk sarapan pagi?
Jawapan: kerana pada hari bekerja biasa kami akan bersarapan di kedai secara berasingan di tempat kerja masing-masing.
Jadi apabila BDR, saya memilih untuk membeli makanan di kedai dan bersarapan di rumah. Hanya kadangkala sahaja menyediakan sarapan pagi bergantung pada menu dan selera.
Dengan bersarapan di rumah waktu diluangkan bersama suami dan anak disamping sedikit penjimatan berbanding bersarapan di kedai.
Paling membahagiakan saya apabila BDR adalah jimat masa perjalanan menghantar anak ke sekolah dan ke tempat kerja. Setiap hari saya menghabiskan sekitar 2 jam di atas jalan untuk tujuan tersebut.
Dengan BDR, ianya sangat menyenangkan dan menjimatkan wang untuk petrol.
Mencari manfaat dan kelebihan di sebalik musibah.
Memang tidak dinafikan pada awal BDR agak tertekan untuk bekerja dan menjadi guru serta ibu kepada anak. Namun setelah melaluinya dalam suatu tempoh ianya dapat disesuaikan.
Bil utiliti sedikit meningkat tetapi berbanding dengan manfaatnya, saya merasakan ianya berbaloi.
Oh ya sebelum terlupa. Walaupun BDR ia bukan bermakna kita bekerja dan dalam masa yang sama menjadi suri rumah. Kita masih bekerja cuma lokasi tempat kerja sahaja berubah dari pejabat ke rumah kediaman.
Jadi? Walaupun berada di rumah, saya tidak memasak dan membuat kerja-kerja rumah di waktu bekerja dan Alhamdulillah suami sangat memahaminya.
Itu sahaja sedikit perkongsian. Semoga ianya bermanfaat untuk pembaca sekiranya tempoh BDR dilanjutkan lagi di masa akan datang.
::AishahGhani
#WFH
#Kongsidaripengalaman
Leave a Reply