Dari Guru Turun ke Komuniti
Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI)1 dengan kerjasama persatuan mahasiswa SCITEXS, Sekolah Kebangsaan Liang Batu (SKLB),2 dan JKKK Kampung Liang Batu3 bakal menganjurkan program Saintis Turun ke Desa 2017 dalam masa yang terdekat. Satu kata sepakat dapat dicapai di dalam mesyuarat penyelarasan pada 1 Oktober 2017 yang bertempat di War Room, SKLB. Berikut merupakan catatan diari Pengarah program tersebut, Dr. Saifful Kamaluddin Muzakir (dengan kebenaran) berkaitan kepentingan hubungan universiti dan komuniti.
“Kembangkan falsafah Ilmu, Mutu dan Budi, inilah wasiat saya.” (Allahyarhamah Prof. Dr. Khalijah Mohd Salleh, 2011)
Aku masih ingat pesan guruku ketika dia terlantar sakit di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, “Saifful, dirimu seorang pendidik yang mempunyai akses kepada bakal-bakal pemimpin. Kembangkan falsafah Ilmu, Mutu dan Budi, inilah wasiat saya”.4 “Akan saya tunaikan sebaiknya Prof”, kataku.
Aku bekerja sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Pahang (UMP). Selain mengajar, aku juga menjalankan aktiviti penyelidikan di dalam bidang fotovoltaik – sebuah bidang kajian mengubah tenaga cahaya kepada tenaga elektrik.5 Aku sering diingatkan oleh pensyarah kanan di pejabatku, agar tidak bekerja di dalam duniaku sendiri. Kerjasama antara pensyarah yang berlainan bidang adalah diperlukan agar hasil kerja lebih berimpak dan bermutu. Aku buntu.
Selepas enam tahun guruku pergi bertemu Yang Maha Pencipta, aku masih cuba memahami tafsiran lagu Ilmu, Mutu dan Budi6 yang kami dendangkan beramai-ramai di dalam Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) sepanjang Minggu Suai Kenal Universiti Kebangsaan Malaysia sekitar tahun 1999. Liriknya bagus, aku suka.
Pertemuan bersama seorang lagi guruku, Prof. Dr. Abdul Kariem Aroff – pengarang buku Fizik tingkatan empat yang aku gunakan pada tahun 1996, telah membuahkan hasil awal. Menurut beliau di dalam wawancara yang dikendalikan oleh sahabatku, Dr Ahmad Salihin Samsudin, “Kita boleh memandu kereta tanpa mengetahui cara ia berfungsi. Namun, jika kita tahu mekanisma tersebut, pelbagai perkara baru boleh dilakukan dengan menggunakan kereta yang sama”.7 Aku tersentak.
Aku yang sedang bertugas sebagai jurukamera video dalam wawancara tersebut memikirkan tiga soalan secara spontan iaitu, (i) bagaimanakah orang yang tiada latar belakang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan dapat memahami mekanisma disebalik sesebuah peranti?, (ii) siapakah yang bertanggungjawab untuk menyebarkan ilmu tersebut?, dan (iii) apakah perkara-perkara baru yang dapat kita lakukan jika mengetahui ilmu asas cara sesebuah peranti berfungsi? Aku mundar-mandir mencari buah fikiran.
Aku tidak melihat kertas-kertas penyelidikan berimpak tinggi dan konferens Sains yang dihadiri ahli-ahli berpendidikan Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah sebagai medium penyebaran ilmu yang utama kepada komuniti, dan anak-anak yang masih bersekolah. Aku mengurut dahi yang tidak sakit. Kehadiran aku ke Majlis Amanat YH Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim (Naib Canselor UMP) pada awal tahun 2017 rupanya penuh makna. Konsep Memasyarakatkan Teknologi yang diperkenalkan di dalam majlis tersebut mengandungi jawapan kepada soalan-soalan aku.8 Aku melompat.
Satu pentas perlu diwujudkan khusus untuk menjawab ketiga-tiga soalan aku tadi. Dua soalan pertama dapat dijawab sebelum pentas dibangunkan, dan satu soalan bakal terjawab setelah pentas terbina. Pentas yang aku maksudkan adalah hubungan antara warga universiti dan komuniti. Merujuk kepada konsep Ilmu, Mutu dan Budi, aku, Dr. Izan Izwan, Dr. Ahmad Salihin, Dr. Muhammad Hafiz Mazwir, Puan Nazikussabah, dan Puan Nurlin Abu Samah bersepakat untuk menganjurkan satu program yang bertajuk Saintis Turun ke Desa 2017. Motivasi aku dan rakan-rakan meningkat.
Program ini berfungsi sebagai serampang dua mata iaitu menghubungkan pakar-pakar dari universiti dengan komuniti melalui dua strategi iaitu, (i) penyampaian ilmu kepada komuniti, dan (ii) mempelajari ilmu baharu dari komuniti. Kurikulum pelajar universiti banyak menekankan aspek-aspek teori dan aplikasi di industri sewaktu pembelajaran di dalam kelas dan makmal. Terdapat kekurangan satu aspek yang amat penting iaitu pengembangan ilmu yang dipelajari kepada komuniti. Gabungan konsep Ilmu, Mutu dan Budi, dan Memasyarakatkan Teknologi memainkan peranan penting untuk melatih dan menilai kebolehan pelajar. Kami menganggukkan kepala.
Terdapat tiga elemen di dalam pelan pengajaran kursus-kursus di universiti iaitu kognitif, psikomotor dan afektif. Dua elemen yang terawal kebiasaannya dinilai berdasarkan pencapaian pelajar di dalam ujian dan peperiksaan akhir. Manakala untuk menilai elemen afektif ataupun penghayatan ilmu, kebiasaannya para pelajar akan diberikan tugasan seperti analisis data, pengiraan teori, pembentangan hasil, dan cadangan kerja teori atau makmal akan datang. Tugasan seperti ini adalah baik untuk menambah kecekapan dan pengukuhan ilmu asas para pelajar untuk mendapatkan jawapan yang tepat; namun kurang berimpak kepada pengembangan ilmu. Setakat apa yang aku lakukan semenjak 2005, aktivitiku hanya terfokus ke arah Ilmu dan Mutu sahaja; Budi dan Memasyarakatkan Teknologi sama sekali terabai. Aku menggelengkan kepala.
Justeru, program Saintis Turun ke Desa 2017 ini menjadi satu pentas bagi pensyarah dan pelajar universiti untuk menggabungkan elemen Ilmu, Mutu dan Budi, dan Memasyarakatkan Teknologi. Aku, bersama pasukan perancang (Gambar 1) dari pelbagai bidang (fotovoltaik, superkapasitor, kitar semula, bateri, kualiti alam sekitar, masakan, seni lukis, seni tari, pertanian, pengurusan, dan pendidikan) akan bekerjasama di bawah satu payung. Kami kini tidak lagi buntu.
Matlamat kami adalah mengukuhkan ilmu yang berkualiti dan menyampaikan kepada masyarakat. Kami tidak berada di dalam kepompong dunia kami sendiri lagi. Untuk mengetahui jawapan kepada soalan terakhir aku, ikuti perkembangan perjuangan kami selepas kejayaan pementasan. Terima kasih guru-guruku!
Rujukan
- Portal Rasmi Fakulti Sains & Teknologi Industri, https://fist.ump.edu.my).
- Portal Rasmi Sekolah Kebangsaan Liang Batu, http://skliangbatu.com/index.php/info/sejarah-sekolah/11-sejarah-sekolah).
- Portal Rasmi Kampung Liang Batu, http://www.jkkkliangbatu.net/).
- M. Salleh, Paradigma Sains Moden dan Pembangunan Sumber Manusia, https://www.youtube.com/watch?v=DkWftUG7WbA).
- K. Muzakir, N. Alias, M. M. Yusoff and R. Jose, Physical Chemistry Chemical Physics, 2013, 15, 16275-16285.
- Zubir Ali and S. H. Yusof, Ilmu, Mutu dan Budi, http://www.ukm.my/kbh/?page_id=769).
- K. Muzakir, Temubual bersama Prof. Dr. Abdul Kariem Mohd Arof, https://www.youtube.com/watch?v=Lmd3UXxhqUs).
- N. Ibrahim, Teks Ucapan Majlis Amanat Tahunan Naib Canselor 2017, http://www.ump.edu.my/sites/default/files/speeches/%5B16%20Februari%202017%5D%20Naskhah%20Sahih%20Amanat%20Tahunan%20Naib%20Canselor%202017.pdf).
Recent Comments