Akibat Pujukan Ejen “Takaful Medical Card”

Pemandangan dari tingkat 7

Segalanya bermula ketika di awal tahun 2015, ketika itu sedang menunggu masa untuk kelahiran cahaya mata sis yang pertama. Kebiasaannya bila jumpa golongan ejen-ejen insurans/takaful di pasaraya ataupun shopping mall, sis akan abaikan sahaja. Entah bagaimana hari itu boleh terjebak (sebenarnya Encik Suami yang berjaya dijerat).

Sesi penerangan di kaunter kecil mereka seperti tidak cukup. Diajak pula ke pejabat mereka (pada hari yang lain) untuk menyambung sesi penerangan. Sis dan suami diberi penerangan mengenai pakej takaful + medical card + saving untuk anak yang bakal dilahirkan. Walaupun si kecil masih di dalam perut ibu, syarikat boleh terima, dengan syarat perlu buat imbasan penuh (3D scan) kandungan untuk pastikan bayi dalam keadaan sihat dan tiada sebarang penyakit.

Ejen yang menguruskan permohonan sis dengan penuh mesra menyatakan kos 3D scan akan beliau tanggung. Maka sis pun pergilah buat prosedur itu di klinik berhampiran rumah. Memandangkan kandungan sis normal dan tiada sebarang risiko atau komplikasi, ejen memaklumkan permohonan sis dapat diluluskan dengan mudah.

Pada Februari 2015, lebih kurang sebulan sebelum tarikh kelahiran, sis tandatangan borang dan bersetuju untuk buat potongan terus (direct debit) dari akaun. Ketika itu nilai sumbangan bulanan hanya RM150 sahaja (sekarang dah bertambah). Sis dimaklumkan, polisi akan mula berkuatkuasa hanya selepas bayi berumur 30 hari. Sis dan suami pun bersetuju.

Mac 2015, alhamdulillah si kecil dilahirkan dengan kelahiran normal tanpa sebarang komplikasi. Lengkaplah sudah keluarga kecil sis. Pemotongan bayaran takaful juga berjalan dengan lancar tanpa berlaku sebarang kelewatan. Beberapa bulan selepas kelahiran si kecil, tiada sebarang masalah kesihatan yang serius padanya. Setakat demam ringan sahaja. Sehinggalah ketika anak sis berumur 8 bulan.

Satu hari, sis perasan si kecil mula demam disertai dengan batuk berkahak. Sis cuba untuk rawat sendiri di rumah, namun keadaannya tidak beransur baik. Sehinggalah keadaanya semakin teruk, di mana dia sudah tidak mahu menyusu, dan sudah tidak aktif bergerak. Nafasnya menjadi laju, dadanya berombak ketika bernafas.

Sis dan suami menjadi risau. Sis cuba hubungi ejen takaful, tapi tiada balasan. Sis dan suami mengambil keputusan untuk hantar si kecil ke wad kecemasan di hospital pakar yang paling dekat dengan rumah. Kami hanya berbekalkan kad takaful yang belum pernah digunakan, dan ejen masih belum membalas panggilan sis.

Rawatan kecemasan terus dibuat, si kecil diberikan nebulizer untuk menstabilkan semula pernafasannya. Sampel darah diambil untuk dianalisa. MO dia wad kecemasan memaklumkan si kecil perlu ditahan di wad untuk rawatan lanjut. Sis diminta untuk membayar deposit, nilai yang agak besar disebabkan status medical card masih tergantung. Mujur ketika itu ejen dah berjaya dihubungi, dan beliau berjanji untuk membantu menguruskan pengesahan medical card si kecil dengan segera.

Doktor mengesahkan si kecil dijangkiti bakteria pada saluran pernafasannya. Antibiotik perlu diberikan secara IV sehingga habis dos yang sepatutnya. Maka berkampunglah sis di hospital selama seminggu. Sambil risaukan tentang kos bil hospital kerana status GL daripada syarikat takaful masih belum diperoleh. Namun ejen memujuk dan menyatakan semuanya akan berjalan lancar.

Alhamdulillah, selepas 6 hari menerima rawatan, si kecil beransur pulih dan akhirnya dibenarkan pulang ke rumah. Suami sis uruskan proses untuk discaj. Staf di kaunter discaj hanya memberikan slip ubat sahaja, dan meminta untuk datang semula selepas proses pemulangan deposit disahkan.

Beberapa hari selepas discaj, pihak hospital menghubungi sis untuk mengambil semula bayaran deposit. Ketika itu barulah sis diberikan bil penuh untuk rawatan selama 6 hari. Betapa bulatnya mata sis melihat angka yang tertera. Purata RM1k untuk sehari.

Ketika itu barulah sis rasa betul-betul bersyukur kerana termakan pujukan ejen takaful, ternyata sis mendapat ejen yang betul-betul bertanggungjawab  dan berkomitmen tinggi. Dan juga pelaburan RM150 sebulan itu sebenarnya sangat berbaloi di zaman ekonomi yang tidak berapa stabil ini.

Jadi, nasihat sis kepada pembaca semua, usahakanlah untuk mendapatkan takaful (dengan pakej medical card) sementara tubuh badan kita masih sihat ini. Tidak ada syarikat takaful yang mampu membantu sekiranya anda memohon perlindungan takaful apabila penyakit sudah bersarang di tubuh.

Nota: Catatan ini ditulis ketika anak dimasukkan ke wad untuk kesekian kalinya. Doakan putera sis cepat sembuh dari jangkitan bakteria mikoplasma.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *