Mengenang balik masa mula-mula kaki dan jasad menjejak ke bumi UMP. Banyak angan-angan ditanam pada hari pertama. Nak memperkasa bidang penyelidikan, menghebatkan lagi pengalaman kerjaya sebagai pendidik, mencipta memori indah dan lain-lain, pokok pangkal, semuanya positif.
Kini hampir dua tahun melakar cerita disini, azam itu sama, tidak berbeza. Sungguhlah orang berkata, tidak perlu bayar dalam memasang angan. Angan lah selagi boleh. Hakikat sebenar kerja? Hanyalah untuk memenuhi KPI. Tapi hari menginjak hari, selalu memaksa diri, berilah yang terbaik, bukan sekadar memenuhi KPI. Selalu lah mencabar diri untuk sentiasa memberikan yang terbaik.
Mana mungkin salah, hati semua manusia, bila dirobek, dilihat dengan mata secara hakiki, sama bentuknya. Tapi isi hati setiap manusia itu, lain. Lain benar. Makin lama hidup, kita sepatutnya lebih mengambil maklum perkara ini. “Bagaimana nak buat orang suka kita” adalah soalan yang kalau ditanya berulang kali, pasti tiada yang mampu memberi jawapan seampuh yang mungkin.
Saya perasan ada seorang ini begitu jauh dengan saya. Sejak saya memulakan perkhidmatan sehinggalah ke saat ini, boleh dikira jumlah teguran antara saya dan dia. Saya sentiasa mahu mencipta peluang untuk mencari idea dalam memulakan cakap, tetapi sentiasa tak jadi. Kenapa? Agaknya saya pun belum betul-betul ikhlas untuk bercakap lalu, Allah memadamkan niat itu. Tetapi saya berazam untuk mulut menjadi ringan dalam menutur kata, mungkin sekencang sembangan dengan rakan-rakan lain.
Menjadi manusia, tanamlah dalam hati untuk sentiasa menjadi yang terbaik dari hari ke hari…
Leave a Reply