9 Mei 2018 pasti melakar momen indah dalam semangat Malaysia untuk membuat perubahan signifikan dalam mendepani cabaran masa kini. Secara terhormat Malaysia memberikan laluan dan peluang kepada muka-muka baharu untuk memimpin ke arah Malaysia yang lebih inklusif dan gemilang.
Jolokan Malaysia Baharu diberikan sebagai menyahut gerakan bulat rakyat Malaysia ini. Kita dipandang sebagai masyarakat yang dambakan kedamaian dan keamanan yang jelas terpapar menerusi tiadanya rusuhan dan peperangan sebaik tampuk pemerintahan bertukar. Kita masyarakat matang dan tiada siapa pun hatta di dunia ini yang mampu menidakkannya.
Sesuai dengan semangat Malaysia Baharu, roh rakyat Malaysia seakan terus-terusan ditiup dengan api semangat, kali ini semangat patriotisme, sesuai dengan sambutan hari kebangsaan ke-61. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menerusi menterinya YB Gobind Singh Deo, sambutan Hari Kebangsaan kali ke-61 bakal diadakan di Putrajaya dengan tema “Sayangi Malaysiaku”. Tema yang dianggap bertepatan dengan landskap Malaysia yang mana seluruh kaum tanpa mengira pahaman politik dan agama haruslah bersatu padu menyayangi Malaysia dengan menyemai rasa sayang dan rasa pemilikan yang akan terus menerus mempertahan kedaulatan pertiwi sepanjang masa.
Malaysia haruslah bergerak kehadapan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Aspirasi dan cita-cita melihat Malaysia maju dengan warganya mempunyai sivik dan akhlak yang tinggi tidak wajar dipikul pemimpin semata-mata, rasa kebertanggungjawaban ini haruslah diletakkan di pundak setiap warganya. Percayalah, dengan semangat rakyat yang membara, apa sahaja yang diimpikan negara pasti mampu tertunai, kalau bukan untuk kesenangan kita, In Shaa Allah, untuk kesenangan zuriat dan keturunan kita di masa hadapan.
PRU14 yang lalu menunjukkan Malaysia seolah-olah lahir semua. Rakyat memainkan peranannya dalam mencipta arus perubahan. Seperti titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak, kalah bukan kalah semua, menang bukan menang semua. Ayuh Malaysia kita lupakan persengketaan dan teruslah mengatur langkah dalam menjadikan Malaysia terus gemilang dalam acuannya yang sendiri dalam masa yang sama menyantuni perubahan global agar kita terus memesak teguh identiti dalam usaha untuk terus maju. Sayangi Malaysiaku, selamat hari kebangsaan!
Leave a Reply