SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1438H
Kemaafan dipinta, kemeriahan dikongsi bersama
Belum masih terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua, walaupun hari ini sudah 17 Syawal, kemeriahan sambutan hari raya masih dirasai. Bagi saya pula, Syawal tahun ini memberi seribu makna apabila ahli keluarga yang telah lama tidak pulang ke kampung, pulang untuk sama-sama menyambut Syawal bersama kami. Tahun ini merupakan giliran saya beraya di Terengganu. Seperti biasa, rutin hari raya saya bermula dengan sarapan pagi bersama keluarga sebelum pergi ke masjid untuk solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Kemudian, kami semua akan pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Setelah selesai solat sunat, kami akan melayan tetamu yang singgah ke rumah keluarga saya, biasanya ahli keluarga terdekat seperti ibu saudara, bapa saudara dan sepupu-sepupu di sebelah ibu saya. Kami akan menghidangkan makanan wajib yang disediakan ibu dan kakak saya seperti nasi impit yang dimakan bersama kuah kacang, ketupat pulut yang dibungkus dengan daun palas, tapai, rendang daging dan kuih muih lain. Kebiasaannya, di Terengganu, makanan tradisi seperti nasi dagang akan dihidangkan, namun bagi keluarga saya, nasi impit adalah menu utama kerana keluarga saya menetap lama di Pahang, dan kebiasaaanya di Pahang, nasi impit bersama kuah kacang menjadi menu utama.
Setelah tetamu pulang, kami sekeluarga akan mengadakan sesi bersalaman dan bermaafan. Selepas itu, kami mengambil gambar keluarga.
Kemudian, kami akan berkunjung ke rumah saudara terdekat sehingga ke tengahari. Di rumah ibu saudara, kami dijamu dengan nasi dagang yang merupakan menu wajib dirumahnya. Selain menjamu selera, ini lah masa yang kami gunakan untuk beramah mesra, bersembang pelbagai topik untuk meningkatkan ukhuwah di antara ahli keluarga.
Pada sebelah petang dan malam pula, kami hanya menunggu tetamu datang beraya di rumah.
Tamatlah sambutan Hari Raya saya pada hari pertama.
Antara perkara sunat yang dilakukan pada Hari Raya :
Pertama: Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Kedua: Menjamah makanan sebelum keluar.
Hadis daripada Anas Bin Malik RA yang memberitahu bahawa:
“Rasulullah SAW tidak keluar rumah pada pagi hari raya Aidilfitri melainkan selepas baginda SAW memakan beberapa biji kurma.” (Riwayat al-Bukhari).
Ketiga: Tidak melalui jalan yang sama ketika pergi dan balik ke tempat solat.
Ia berdasarkan hadis dari Jabir RA yang menceritakan bahawa:
“Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya.” (Riwayat Al-Bukhari).
Keempat: Memakai pakaian dan berwangian yang paling baik.
Rasulullah SAW menyarankan kepada sahabatnya supaya berpakaian cantik. Malah cucu baginda Saidina Hassan juga menyebut bahawa:
“Nabi SAW memerintahkan kami supaya memakai pakaian dan wangian yang paling baik yang kami miliki di pagi raya”. (Riwayat al-Hakim dan at-Tabrani).
Kelima: Memperbanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, bertahmid dan bertahlil untuk memuji kebesaran Allah SWT.
Sunat melaungkan Takbir selepas jelas terlihatnya anak bulan Syawal dan berakhir apabila hendak menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Recent Comments